
PERTAMA KALI PANDU EV, BERAKHIR DENGAN KEMALANGAN – WANITA SAMAN TESLA LEBIH RM40 JUTA
Seorang wanita di Amerika Syarikat memfailkan saman melebihi AS$10 juta (kira-kira RM40.7 juta) terhadap Tesla selepas mengalami kecederaan serius dalam kemalangan ketika sesi pandu uji sebuah Tesla Model Y pada September 2024.
Menurut dokumen saman yang difailkan di Virginia, wanita berusia 59 tahun itu, Alemzewd Lawgalet, mendakwa kakitangan Tesla membenarkannya memandu bersendirian walaupun mengetahui beliau tidak pernah mengendalikan kenderaan elektrik (EV) sebelum ini.
Beliau turut mendakwa tidak diberikan penerangan mengenai sistem brek regeneratif serta mod pemanduan berprestasi tinggi “Insane”, yang didakwa masih diaktifkan ketika sesi pandu uji.
Malah, jurujual dikatakan memaklumkan bahawa Model Y beroperasi sama seperti kereta berenjin petrol konvensional.
Menurut tuntutan tersebut, ketika memandu di lebuh raya, Lawgalet terkejut apabila kenderaan memperlahankan kelajuan secara ketara sebaik sahaja pedal pendikit dilepaskan akibat fungsi brek regeneratif.
Keadaan itu menyebabkan beliau mengambil keputusan keluar dari lebuh raya untuk memulangkan semula kenderaan berkenaan.
Bagaimanapun, ketika lampu isyarat bertukar hijau, beliau menekan pedal pendikit dan mendakwa Model Y memecut dengan jauh lebih pantas daripada jangkaannya.
Kenderaan itu kemudian meluru merentasi jalan sebelum merempuh sebuah salun rambut. Tesla berkenaan turut dilaporkan terbakar selepas impak.
Tesla bagaimanapun menolak dakwaan tersebut dan menegaskan kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu mengendalikan kenderaan dengan sewajarnya.
Kes itu kini tertumpu kepada persoalan sama ada Tesla cuai kerana membiarkan mod pemanduan berprestasi tinggi diaktifkan ketika sesi pandu uji serta sama ada syarikat itu gagal memberikan penerangan mencukupi mengenai ciri-ciri unik EV, termasuk brek regeneratif dan prestasi pecutannya.
Model Y dalam spesifikasi prestasi tinggi mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j (60 mph) dalam hanya sekitar 3.3 saat, iaitu setanding prestasi sesetengah kereta sport dan supercar.
Sekiranya mahkamah memihak kepada plaintif, kes ini berpotensi memberi kesan kepada amalan industri automotif, khususnya dalam prosedur pandu uji bagi EV berprestasi tinggi.
Pengeluar dan pengedar mungkin perlu menyediakan taklimat yang lebih menyeluruh kepada pelanggan baharu sebelum membenarkan mereka mengendalikan model yang mempunyai tahap pecutan luar biasa.
- BACA: PROTON e.MAS PERKUKUH RANGKAIAN, ENAM PUSAT PENGEDAR TAMPIL DENGAN IDENTITI KORPORAT BAHARU
- BACA: PANDU BIJAK, JIMAT BANYAK: CARA PEMANDU E-HAILING MALAYSIA MAKSIMUMKAN SETIAP LITER BAHAN API
- BACA: QJMOTOR SRK 421 S MENDARAT DI CHINA – 76.4HP, 39NM
- BACA: GIIAS 2026: BYD M6 iDM, MPV PHEV DENGAN 1000KM PERJALANAN







