Buletin

THAILAND TERAJU 79 PERATUS PASARAN EV ASEAN – BYD ATTO 3 PALING LAKU!

Seperti diketahui umum, jenama China kini menguasai pasaran kenderaan elektrik di Asia Tenggara, di mana ia menjual tiga daripada empat EV pada suku pertama tahun ini.

Menurut firma penyelidikan, Counterpoint Research, Thailand, hab pembuatan kereta serantau, sedang memacu peralihan, dengan negara itu menyumbang hampir 79 peratus daripada semua EV yang dijual di Asia Tenggara pada suku pertama.

Antara faktor utama Thailand menjadi peneraju adalah tarikan tawaran insentif kepada pengguna dan subsidi kepada pembuat kereta untuk membina lebih banyak EV di dalam negara.

Terdahulu, pembuat EV China memulakan ‘permainan’ dengan melabur sekurang-kurangnya AS$1.44 bilion (RM6.6 bilion) dalam menyediakan kemudahan pengeluaran di Thailand, sekali gus menidakkan penguasaan pengeluar dari Jepun.

“Kumpulan kereta China sedang mengalami pertumbuhan pesat dan mengatasi pesaing mereka di rantau Asia Tenggara, dengan bahagian pasaran mereka meningkat daripada 38 peratus setahun lalu kepada hampir 75 peratus,” kata penganalisis Counterpoint Abhilash Gupta.

Di seluruh rantau ini, jumlah jualan kenderaan penumpang EV meningkat kepada 3.8 peratus pada suku pertama, berbanding 0.3 peratus setahun sebelumnya.

Untuk rekod, BYD Atto 3 ialah kereta EV terlaris di rantau ini, diikuti oleh Neta V dan Tesla Model Y.

Dengan tawaran EV China semakin berkembang, Counterpoint percaya jumlah jualan kenderaan elektrik di Asia Tenggara boleh mencapai 6 peratus menjelang akhir 2023.

Google ads
Back to top button