KERAJAAN PERLU PINDA UNDANG-UNDANG SEBELUM PELAKSANAAN SISTEM MLFF
Kerajaan merancang untuk meminda beberapa akta sebelum melaksanakan sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) bagi memastikan pengguna lebuh raya tidak mengelak daripada membayar tol, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya, peratusan pengguna yang tidak membayar tol kini berada pada kadar 0.01 peratus, kebanyakannya disebabkan oleh perbuatan tailgating atau mengekori rapat kenderaan di hadapan.
“Palang tol sekarang menjadi kawalan visual jika ada yang tidak membayar, boleh dilihat dengan jelas. Namun, jika tiada plaza tol seperti dalam sistem MLFF, jumlah pengguna yang mengelak membayar tol mungkin meningkat,” jelas beliau.
Beliau menyatakan keputusan akhir mengenai penggunaan sistem MLFF akan dimuktamadkan pada 16 Disember 2024 berdasarkan perjanjian yang telah ditetapkan.
Beliau juga memaklumkan bahawa 20 syarikat konsesi lebuh raya sedang berunding untuk melaksanakan sistem ini, manakala 13 lagi belum bersetuju.
Bagi memastikan sistem Radio Frequency Identification (RFID) di lebuh raya berfungsi dengan lancar, syarikat konsesi telah meningkatkan kerja-kerja penambahbaikan di lorong tol secara kerap.
Pengguna juga diingatkan supaya memastikan baki dalam dompet elektronik mereka mencukupi sebelum menggunakan lorong RFID.
Setakat ini, sebanyak 580 daripada 2,348 lorong tol di seluruh negara telah menggunakan sistem RFID.
Beliau turut menegaskan bahawa keperluan untuk menambah lorong RFID akan dipantau dari semasa ke semasa.
“Kita juga sedang berusaha untuk menyelaraskan sistem pembayaran tol di seluruh negara bagi meningkatkan keberkesanan sistem RFID,” tambahnya. – Malay Mail