Artikel Pilihan

KERETA ELEKTRIK “MASIH” BELUM CUKUP LAJU DI LITAR. KADANG-KADANG TERBABAS.

Cuba anda semak rekod 10 kereta merekodkan masa terpantas di Litar Nurburgring, yang lulus untuk dijual dan digunakan di atas jalan raya. 10 kereta atau supercar ini adalah hypercar atau supercar yang menggunakan enjin pembakaran dalam ataupun gabungan sistem hibrid.

Masa terpantas dicatatkan oleh jentera Mercedes-AMG One dengan catatan masa 6 minit 29.09 saat bagi jarak litar mencapai 20.832km. Daripada 10 senarai ini, di kedudukan ke 10 ialah Porsche 911 GT3 RS dengan rekod 6 minit 54.99 saat.

Di kedudukan 26 barulah kita boleh nampak kereta elektrik dari jenama Rimac Nevera pada catatan masa 7 minit 5.298 saat, hampir 36 saat ketinggalan daripada jentera hibrid Mercedes AMG-One atau 26 saat di belakang jentera Porsche 911 GT2 RS pada catatan masa 6 minit 38.835 saat.

Secara perbandingan kuasa, Rimac Nevera datang sistem 4 motor elektrik yang menjana 1914 kuasa kuda dan 2299Nm tork adalah jauh lebih berkuasa berbanding dengan Mercedes AMG-One yang hanya menjana 1049 kuasa kuda sahaja.

Malah jika dibandingkan dengan Porsche 911 GT2 RS, ia jauh lebih berkuasa kerana 911 GT2 RS hanya menjana sekitar 700 kuasa kuda dan 750Nm tork sahaja. Jadi jika agak menghairankan kerana sepatutnya kereta yang lebih berkuasa wajib menghasilkan catatan masa yang jauh lebih pantas

Tapi anda kena mahirkan diri dengan satu mantra, horsepower are heavy. Kuasa kuda yang terlalu tinggi menjadikan sesebuah kereta adalah berat. Apatah lagi sebuah hypercar elektrik yang sangat berkuasa seperti Rimac Nevera.

Sebagai rekod Rimac Nevera datang dengan berat 2300kg berbanding dengan jentera hibrid Mercedes AMG-One dengan berat sekitar 1695kg sahaja. Malah Porsche 911 GT2 RS hanyalah seberat 1561kg sahaja, jauh lebih ringan berbanding dengan Rimac Nevera.

Isu berat ini adalah berkait rapat dengan isu bateri Lithium Manganese Nickel sebesar 120kWh yang dipasang pada Rimac Nevera. Hypercar ini memang memerlukan bateri yang besar dan sudah pasti berat yang akan menjejaskan prestasi hypercar di litar.

Dari segi pecutan, Rimac Nevera mampu memecut dari 0-100km/jam dalam masa 1.8 saat sahaja, jauh lebih pantas berbanding dengan Mercedes AMG-One pada masa 2.9 saat ataupun Porsce 911 GT2 RS pada masa 2.8 saat.

Tapi rasanya untuk perlumbaan dan catatan masa di litar, hampir semua pembaca lupa bahawa semua hypercar ini memerlukan brek yang berkuasa untuk melalui selekoh pada halaju yang selamat

Disebabkan berat mencecah 2300kg, Rimac Nevera memerlukan jarak sehingga 29.12 meter untuk berhenti dari halaju 100km/jam sehingga berhenti sepenuhnya, walaupun menggunakan cakera brek dengan saiz 390mm pada roda depan dan belakang

Manakala Porsche 911 GT2 RS pula hanya memerlukan jarak 27 meter sahaja pada halaju yang sama, malah menggunakan cakera brek bersaiz 380mm sahaja. Jadi apabila berhadapan dengan 170 selekoh dan digandingkan dengan perubahan altitud sehingga 1000 kaki, maka secara realiti Rimac Nevera yang lebih berkuasa gagal menyaingi catatan masa Porsche 911 GT2 RS.

Ketika rekod dijalankan, kedua dua jentera iaitu Porsche dan juga Rimac menggunakan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 iaitu tayar yang dibenarkan untuk digunakan di atas jalan raya. Ujian dengan menggunakan tayar perlumbaan (slick tyre) oleh model prototaip Xiaomi SU7 mencatatkan masa sekitar 6 minit 46 saat, namun ia adalah unit ujian dan bukanya unit produksi yang boleh dijual pada pembeli

Malah Xiomi SU7 ini telah dipasang dengan sistem brek cakera karbon seramik perlumbaan yang lebih besar, bersaiz 430mm pada roda depan dan 410mm pada roda belakang selain mampu menahan suhu operasi sehingga 1300 darjah celcius tanpa masalah brake fade.

Untuk rekod, bagi unit perlumbaan dan protaip, masa terpantas ialah 5 minit 19 saat yang dicatatkan oleh jentera prottaip perlumbaan Porsche 919 Hybrid EVO yang menghasilkan 900 kuasa kuda dari gabungan enjin 2000cc dan juga motor elektrik. Malah jentera ini hanyalah seberat 875kg sahaja.

Sekiranya anda memandu secara normal kereta elektrik anda, brek standard yang dipasang dengan pelapik brek Non Asbestos Organic adalah memadai. Namun jika anda mulai memandu dengan laju seperti cubaan mencatatkan masa terpantas di litar, adalah lebih bagus untuk anda menukar brek prestasi tinggi

Gabungan berat, halaju yang tinggi, momentum, maka komponen brek akan mengalami kehausan luar biasa yang mengakibatkan kereta elektrik anda terbabas di perangkap batu kerikil jika anda bernasib baik. Atau tidak mungkin ia akan menghentam dinding dan menyebabkan kecederaan.

Anda boleh menonton video di bawah yang membandingkan prestasi keseluruhan Tesla Model 3 Performance dengan BMW M3 Competition di litar. Dan selepas 15 minit perlumbaan, BMW M3 Competition mendahului Tesla Model 3 Performance sejauh 1737 meter.

Google ads
Back to top button