
KIA EV6 GT 2025 DIPERKENAL DI KOREA, 609 HP DAN 740NM!
Jika Hyundai mempunyai IONIQ 5 N sebagai EV berprestasi, Kia pula tampil dengan EV6 GT. Kuasa yang dihamburkan setinggi 430 kW (576 hp) dan 739Nm.
Pecutan dari 0 sehingga hingga 100 km/j hanya perlu 3.5 saat dan kelajuan tertinggi mencecah 260 kilometer sejam (km/j).
Kuasa dan daya pecutan tersebut mengatasi Stinger dan paling tinggi di dalam barisan kenderaan Kia. Untuk makluman, pasaran tempatan ditawarkan EV GT Line yang berkuasa 239 kW (320 hp) dan 605Nm.
Diperkenal pada 2022 kini tiba giliran EV6 GT baharu susulan pengenalan EV6 rupa baharu di Korea pada Mei 2024.

EV6 GT kali ini lebih berkuasa dengan Kia menghadiahkan 448 kW (609 hp) dan 740Nm.
Angka itu boleh dilonjakkan lagi dengan pengaktifan kawalan mula pandu. Prestasi motor depan dan belakang melonjak kepada 478 kW (650 hp) dan 770Nm.
Pecutan dari 0 sehingga 100 km/j kekal pada 3.5 saat. Model ini turut dilengkapi Tukaran Gear Maya (VGS).
EV6 GT menggunakan bateri voltan tinggi 84 kilowatt-jam (kWj) generasi keempat berbanding 77.4 kWj sebelum ini.

Jarak pemanduan turut bertambah iaitu sehingga 355 kilometer (km) berbanding 342 km (piawaian pensijilan Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea).
Untuk versi antarabangsa perlu tunggu piawaian WLTP dan model sebelum ini boleh dipandu sehingga 426 km.
Tempoh penambahan tenaga dari 10 sehingga 80 peratus tidak sampai 18 minit menggunakan pengecas 350 kW dan sama seperti sebelum ini.
Dari segi pengendalian, EV6 GT menggunkan ampaian kawalan elektronik (ECS) dan pembeza gelinciran terhad elektronik (e-LSD).

Pada bahagian dalam, stereng ditukar baharu dan kerusi dilengkapi lapan larasan berkuasa selain fungsi pemanasan dan pengudaraan sedia ada. Turut dilengkapi sistem memori pada bahagian pemandu.
Kelengkapan asas juga bertambah seperti Walk Away Lock, Navigasi Realiti Terimbuh (AR), Kunci Digital Kia 2, Kamera Terbina Dalam 2 dan Cermin Sisi Automatik Rendah semasa mengundur.
Kia menawarkan lima pilihan warna iaitu Snow White Pearl, Aurora Black Pearl, Runway Red, Wolf Gray dan Yacht Matte Blue untuk dipadan bersama dalaman Hitam dan Neon.
Satu yang menarik ialah Kia mengekalkan harga EV6 GT dan bermula daripada 76.05 juta won (RM242,899) atau lebih rendah jika dimasukkan faedah cukai dan subsidi pemerintah.
