
WRC 2025 – SAMI PAJARI ANTARA BARISAN PEMANDU TOYOTA GAZOO RACING MUSIM WRC 2025
Sebaik sahaja tamat perlumbaan FORUM8 Rally Japan dan berjaya memenangi kejuaraan Pengeluar untuk WRC musim ini, pasukan Toyota Gazoo Racing muncul sebagai pasukan pertama yang mengumumkan barisan pemandu mereka untuk menghadapi musim FIA World Rally Championship (WRC) 2025.
Pasukan yang berasal dari Jepun itu menyasarkan untuk mempertahankan tahta kejuaraan kategori Pengeluar disamping mendapatkan semula tahta kejuaraan Pemandu dan Juruarah bagi kempen musim hadapan.

Menariknya Toyota Gazoo Racing akan membariskan pemandu handalan terdiri daripada Sami Pajari yang dinaikkan pangkat ke kategori utama, Kalle Rovanpera, Elvyn Evans dan juga Takamoto Katsuta. Selain daripada itu, pemandu lagenda yang juga Juara WRC lapan kali, Sebastian Ogier masih lagi akan bersama pasukan Toyota untuk memandu jentera Toyota Gazoo Rally1 untuk beberapa perlumbaan terpilih.
Bukan itu sahaja, pasukan Toyota juga memperkukuhkan struktur pengurusan pasukan dengan turut melantik Juara WRC empat kali, Juha Kankkunen sebagai Timbalan Prinsipal bagi membantu Jari-Matti Latvala selaku Prinsipal pasukan.
Untuk Sami Pajari 22 tahun, ini adalah suatu peluang keemasan yang cukup baik diperolehi untuk beraksi semusim penuh bersama Toyota Gazoo Racing berikutan persembahan yang konsisten beliau dalam kempen WRC2 dengan memandu jentera Toyota Yaris Rally2 dengan berjaya memenangi kejuaraan WRC2 musim ini.
Malah Sami Pajari turut diberikan peluang untuk memandu jentera Toyota Yaris Rally1 musim ini sebanyak tiga kali dengan berjaya memenangi peringkat perlumbaan serta menamatkan tempat keempat keseluruhan di Secto Rally Finland. Cuma barangkali mungkin sedikit khabar kurang gembira, Sami Pajari akan berpisah dengan Juruarah Enni Mälkönen setelah berpasangan selama tiga tahun selama ini.

Sementara itu, Kalle Rovanpera, 24 tahun yang juga merupakan mantan Juara WRC dua kali berturut – turut akan kembali ke kerusi pemanduan musim penuh untuk kempen 2025 nanti. Musim 2024 ini menyaksikan Kalle Rovanpera hanya mengambil bahagian dalam tujuh perlumbaan sahaja tetapi turut mempamerkan aksi yang menakjubkan apabila muncul juara sebanyak empat kali di Kenya, Poland, Latvia dan juga Chile.
Elfyn Evans serta Takamotot Katsuta pastinya akan ditagih aksi musim hadapan bagi membantu Toyota terus mengutip mata penting sehingga ke akhir musim yang mana terbukti mereka berdua berjaya memainkan peranan penting tersebut.
BACA : WRC 2024 – SAMI PAJARI SEKALI LAGI AKAN MEMANDU TOYOTA GR YARIS RALLY1 UNTUK DUA PERLUMBAAN