KERETA PERISAI PERTAMA MALAYSIA DIBERI NAMA TARANTULA. TARIK MINAT NEGARA ASIA BARAT
Kereta perisai pertama buatan tempatan, kereta perisai mobiliti tinggi pacuan empat roda (HMAV 4×4) kini secara rasminya dikenali sebagai Tarantula. Karakter dan keupayaan yang ada pada labah-labah Tarantula menggambarkan ‘kekuatan’ kenderaan perisai berkenaan.
Dihasilkan 100 peratus sentuhan anak tempatan menerusi Mildef International Technologies Sdn. Bhd., ia jelas membuktikan kepada pemain industri pertahanan seluruh dunia tentang keupayaan serta kemahiran syarikat Malaysia.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kereta berperisai itu yang siap tiga bulan lalu itu merupakan hasil usaha lapan jurutera dan lebih 100 tenaga kerja Kementerian Pertahanan (MINDEF). Pembinaan jentera berkenaan melibatkan kos RM16 juta sepanjang tempoh empat tahun.
“Ini ialah kereta perisai keluaran Malaysia. MINDEF akan beri fokus supaya pakar dalam negara iaitu anak Malaysia mampu mengeluarkan senjata sendiri supaya kita tidak lagi bergantung kepada negara luar dalam perkara berkaitan peralatan ketenteraan ini,” kata Ismail.
Beliau ditemui pada sidang akhbar selepas mengumumkan nama kereta perisai mobiliti tinggi 4X4 (HMAV4x4) Pertama Malaysia itu sebagai “Tarantula” di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Tarantula telah melalui pelbagai proses penilaian antaranya penggunaan bahan api, ujian muatan dan ujian mendaki. Ia dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh tentera darat, setanding dengan pelaksanaan di peringkat antarabangsa.
Ujian itu berlangsung selama sembilan hari merangkumi perjalanan sejauh 700 kilometer di atas jalan raya dan 300km di laluan off-road, selain beberapa ujian berhalangan lain. Kereta berperisai mobiliti tinggi itu juga dibina mengikut kesesuaian iklim dan cuaca di Malaysia.
Nama Tarantula ini diambil daripada spesies labah-labah bertaring, bersaiz besar, berbulu serta mempunyai keupayaan mengubah warna dan tingkah laku mengikut persekitaran. Serangga itu juga mampu membunuh haiwan lain yang lebih besar daripadanya.
Menurut Ismail, Tarantula berjaya menarik minat beberapa negara termasuk dari Asia Barat.
“Teknologi kenderaan ini akan dipertingkatkan lagi jika perlu untuk menembusi pasaran antarabangsa. Berdasarkan kapasiti yang sedia ada ketika ini, Mildef International Technologies mampu menghasilkan 40 buah kereta berperisai mobiliti tinggi 4×4 Tarantula setahun jika ada permintaan,” katanya.
Dengan keupayaan lasak dan mampu mencapai kelajuan 110 km sejam, HMAV 4×4 tersebut mampu menjalankan pelbagai misi penting ketenteraan serta memberi perlindungan kepada pengendali serta kru kenderaan. – Bernama, Berita Harian
- BACA: KERETA PERISAI ALVIS SALADIN JUAL DI EBAY. MERIAM, MESINGAN MASIH BERFUNGSI!!!
- BACA: INILAH KERETA PERISAI PALING LAJU DI DUNIA – AUDI RS7 SPORTBACK, 760HP & 1,085NM
- BACA: JENTERA MILDEF 4X4 HMAV LEPASI SESI PANDU UJI PERTAMA DENGAN CEMERLANG
- BACA: MILDEF PERKENAL HMAV 4X4. SUDAH TERIMA 100 UNIT TEMPAHAN