,
Buletin

INILAH KERETA PERISAI PALING LAJU DI DUNIA – AUDI RS7 SPORTBACK, 760HP & 1,085NM

Apabila sebut sahaja tentang kereta perisai, biasanya kita akan terbayangkan sedan mewah atau SUV bersaiz besar.

Namun, firma AddArmor dilihat cuba untuk mengubah norma itu dengan mendedahkan sebuah kereta perisai yang didakwanya sebagai paling laju di dunia.

Mampu memecut sehingga 325km/j, jentera tersebut dibina daripada model Audi RS7 Sportback yang telah ditala oleh pihak APR.

Enjin V8 bersesaran 4.0 liter liter itu dilengkapi sistem APR Plus Stage II yang mampu menjana kuasa mencecah 760hp dan tork 1,085Nm. Kuasa itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 2.9 saat.

Tidak mahu mensia-siakan prestasi tersebut, AddArmor menggunakan material sulaman polikarbonat yang 10 kali lebih kukuh berbanding besi balistik dan 60 peratus lebih ringan.

Firma itu juga memasang tingkap dengan kaca khas yang dibina menggunakan gabungan lapisan polikarbonat dan kaca balistik.  Semua itu hanya menambah berat sebanyak 91kg dan berupaya menawarkan tahap keselamatan B4 Eropah.

Justeru, kereta perisai itu dapat melindungi penumpang daripada tembakan senjata kecil .44 Magnum.

Selain kalis peluru, Audi RS7 Sportback itu ditambah dengan penyembur lada, sistem asap cermin dan senjata bunyi sonik.

Ia juga dipasang dengan lampu silau yang diinspirasikan daripada pesawat pejuang, tayar jenis run-flat dan hendal pintu dengan kuasa renjatan elektrik yang kesannya seperti terkena tembakan pistol taser.

Tidak cukup? AddArmor memasang sedan itu dengan sistem pengesan bom, kamera pandangan pada waktu malam 360°, topeng gas dan tangki udara untuk menawarkan udara bersih kepada penumpang.

Jika keadaan mendesak, bampar hadapan boleh digunakan untuk melanggar halangan dan tidak merosakkan radiator.

Sekiranya semua itu gagal menghalang serangan, terdapat rak khas untuk menyimpan pistol dan senapang. Pemandu juga boleh menghubungi pihak berkuasa menerusi perkhidmatan Global 911.

Sedan itu ditawarkan pada harga AS$205,000 (RM843,000), mahal AS$91,100 (RM375,000) berbanding model RS7 standard.

Jangan risau keranan AddArmour memberitahu pakej keselamatan itu dijual pada harga bermula AS$28,000 (RM115,150).

“Dengan AddArmor APR RS7 yang baru ini, kami ingin menunjukkan bahawa teknologi kereta perisai pada hari ini membolehkan pemandu memilih kenderan yang mereka sukai,” kata Presiden AddArmor, Jeff Engen.  

Tags
Google ads
Back to top button