Buletin

MILDEF PERKENAL HMAV 4X4. SUDAH TERIMA 100 UNIT TEMPAHAN

MILDEF International Technologies (MILDEF) syarikat perkhidmatan automotif kegunaan industri pertahanan Malaysia memperkenalkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi 4×4 untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sri Mohd Nizam Kasa berkata, model dikenali sebagai Mildef HMAV 4X4 itu dibina di atas platform modular dengan rangkaian spesifikasi asas sehingga yang paling canggih bagi disesuaikan dengan proses pengubahsuaian mengikut permintaan pelanggan kelak.

“Ia adalah binaan sepenuhnya di negara ini oleh syarikat milik penuh Bumiputera yang menggunakan kepakaran jurutera berpengalaman tempatan malah merupakan produk pertama seumpamanya dihasilkan di negara ini,” katanya ketika sesi taklimat kepada media.

Proses rekaan dan pembangunan mengambil masa selama empat tahun dengan kos membabitkan sebanyak RM16 juta untuk menghasilkan prototaip ini yang akan ditawar dan diprebiu kepada Kementerian Pertahanan.

Penghasilan kenderaan berperisai ini bagi menawarkan harga yang kompetetif selain mengurangkan kebergantungan kepada pembekal antarabangsa termasuk perkhidmatan selepas jualan.

“Sebanyak 100 unit tempahan daripada negara luar sudah diterima dan untuk meluaskan pasaran kami akan melakukan promosi di rantau Asia Tenggara pada suku pertama 2022,” katanya.

Model ini adalah 70 peratus menggunakan komponen tempatan (casis, badan dan sistem enjin) dan 30 peratus adalah kandungan luar (gandar, transmisi dan enjin).

MILDEF juga mahu membuktikan kepada pemain industri bahawa syarikat Malaysia mampu mencipta dan membangunkan kenderaan perisai yang mana mendapat kerjasama dan khidmat nasihat daripada Agensi Pertahanan Malaysia (STRIDE) dan Tentera Darat.

Kenderaan perisai mendapat khidmat enjin Caterpillar berkapasiti 7.2 liter diesel pengecas turbo mampu menjana kuasa sehingga 330 hp.

Mildef HMAV 4X4 boleh mencapai kelajuan maksimum mencecah110 km/j.

Ia mempunyai berat 14 tan yang dilengkapi sistem persenjataan moden bersama grenade launcher, sistem Stesen Senjata Kawalan Jauh (RCWS) untuk keupayaan menembak secara 360 darjah dan perisai bawahan Stanag 4569 Tahap 2B dan 2. – Harian Metro/MILDEF

Google ads
Back to top button