KIA 21 KALI MENANG RED DOT, TAHUN INI MENANG 3 SEKALIGUS
Mereka yang mengikuti jenama Kia sejak zaman 90 an dulu mungkin teringat bagaimana jenama Korea Selatan ini tiba-tiba muncul. Produk pertama yang meletup ialah Kia Sportage dan anehnya model itu menerima sambutan ramai pada kala negara baru sahaja mengalami krisis kewangan 1997 – 1998.
Kata-kata hikmah menyebut, menguruskan kejayaan lebih susah daripada mencapainya dan sehingga hari ini nampaknya Kia Motors masih kekal konsisten mencapai kejayaan.
Di antara indikator kejayaan Kia apabila ia terus menerus diiktiraf oleh badan profesional dalam industri. Terbaru Kia memenangi tiga anugerah beprestij Red Dot sekaligus.
Anugerah Red Dot bermula dari tahun 1955 dan telah menjadi salah satu pertandingan reka bentuk berprestij di dunia. Panel penilainya terdiri daripada 40 pakar reka bentuk, ahli akademik dan jurnalis dari serata dunia.
Untuk tahun ini sahaja 59 buah negara menyertainya dengan mendaftarkan lebih dari 6,300 produk.
Untuk tahun ini, tiga model Kia iaitu Stinger, Stonic dan Picanto telah berjaya memenangi anugerah dalam kategori masing-masing.
Kia Stinger lebih gah apabila panel juri antarabangsa telah memilih model itu sebagai best of the best.
Berdasarkan rekod, Kia telah memenangi 21 Anugerah Red Dot dengan kali pertama oleh Kia Soul pada tahun 2009. Selain Red Dot, Kia turut memenangi tiga anugerah reka bentuk iF pada tahun ini.
Kia Stinger direka di Pusat Reka Bentuk Kia Eropah di Frankfurt, Jerman dengan konsep sebuah gran turismo klasik era 70 an. Konsep tersebut memadankan perkadaran kereta fastback yang elegan dan bentuk maskulin botol minuman coke bagi menyerlahkan ‘kekuasaan’ kereta pacuan belakang ini.
Selain Stinger, Kia Stonic turut direka di Jerman dan berada dalam segmen sama seperti Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Toyota C-HR dengan saiz kompak dan bentuk unik.
Kia Picanto generasi ketiga pula adalah kereta paling kecil dalam produk Korea Selatan ini. Walaupun kecil ia dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan keselamatan dan satu-satunya di antara tiga model yang dijual di dalam negara kita.
Kia Picanto juga ditawarkan pada harga yang menarik dan walaupun berada dalam segmen A seperti Perodua Axia tetapi saingannya lebih hampir kepada Perodua Myvi dan Proton Axia.
BACA: ALKISAH KIA CARENS – MPV KOMPAK K-POP
BACA: SEJARAH : KISAH KIA MOTOR DAN BANGSA KOREA