
KIA PV7 DEBUT DENGAN TEKNOLOGI 800V, TAWAR MUATAN LEBIH BESAR DAN JARAK GERAK 460KM
Kia memperluaskan penawaran kenderaan komersial elektriknya menerusi pelancaran PV7 baharu di pameran IAA Transportation 2026 di Hannover, Jerman.
Model ini hadir sebagai van elektrik yang lebih besar dan lebih berkeupayaan berbanding PV5, dengan kapasiti muatan lebih tinggi serta teknologi pengecasan yang lebih canggih.
Dari segi reka bentuk, PV7 menampilkan identiti moden yang mengekalkan elemen gaya keluarga siri PBV (Platform Beyond Vehicle) Kia.
Bahagian hadapan menggunakan lampu LED berpecah, manakala badan van dilengkapi pintu gelangsar, ruang kaca yang luas dan pelindung badan yang direka untuk mudah diganti sekiranya mengalami kerosakan, sekali gus membantu mengurangkan kos penyelenggaraan.

Ruang kabin pula jauh berbeza daripada van komersial konvensional. Ia dilengkapi kluster instrumen digital bersaiz 9.9-inci dan skrin sentuh infotainmen 14.6-inci yang menggunakan sistem Pleos Connect berasaskan Android.
Turut disediakan ialah pembantu suara berasaskan kecerdasan buatan (AI), pencahayaan ambien, ruang simpanan pelbagai guna serta butang fizikal pada stereng dan konsol tengah bagi memudahkan operasi harian.
PV7 standard mempunyai panjang 5,350 milimeter dengan jarak roda 3,500 milimeter, menjadikannya jauh lebih besar berbanding PV5.
Kia turut merancang untuk memperkenalkan varian Long dan High Roof pada masa depan bagi memenuhi keperluan operasi yang memerlukan kapasiti kargo lebih besar.

Sebanyak 23 konfigurasi dijangka ditawarkan merangkumi versi kargo dan penumpang. Pada pelancaran awal, Kia mempamerkan PV7 Cargo tiga tempat duduk serta PV7 Passenger sembilan tempat duduk yang direka untuk kegunaan pengangkutan penumpang dan operasi armada.
Bagi versi kargo, varian Cargo Long menawarkan ruang muatan sehingga 6.1 meter padu, manakala Cargo High Roof meningkat kepada 8.0 meter padu. Kapasiti muatan maksimum mencecah 1,200 kilogram, selain dilengkapi sistem partition khas yang membolehkan barangan panjang disimpan melangkaui ruang penumpang hadapan.
Untuk kegunaan pengangkutan penumpang, PV7 Passenger ditawarkan dalam konfigurasi tujuh, sembilan dan 11 tempat duduk.
Versi tujuh tempat duduk menggunakan sistem tempat duduk Easy Remove yang membolehkan kerusi belakang digelongsorkan atau ditanggalkan sepenuhnya bagi meningkatkan fleksibiliti ruang. Penumpang turut menikmati kawalan pendingin hawa belakang serta port pengecas USB-C.

Dari aspek keselamatan, van ini dilengkapi tujuh beg udara dan pelbagai sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang direka untuk meningkatkan keselamatan operasi harian.
PV7 dibangunkan menggunakan platform E-GMP.S khusus untuk kenderaan komersial elektrik. Berbeza dengan PV5 yang menggunakan sistem 400 volt, PV7 hadir dengan seni bina 800 volt yang membolehkan proses pengecasan lebih pantas.
Motor elektrik tunggal yang dipasang pada gandar hadapan menghasilkan kuasa sehingga 268hp dan tork 420Nm. Pembeli boleh memilih sama ada pek bateri 71.5kWh atau 96.2kWh. Dengan bateri terbesar, PV7 Cargo mampu mencapai jarak perjalanan melebihi 460 kilometer mengikut kitaran WLTP.
Pengecasan pantas DC sehingga 350kW membolehkan tahap bateri meningkat daripada 10 hingga 80 peratus dalam kira-kira 25 minit. Ia turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik luaran.

Menariknya, PV7 menjadi model pertama Kia yang menawarkan dua port pengecasan, terdiri daripada port AC/DC di bahagian hadapan dan pilihan port AC tambahan di sisi belakang kenderaan.
Kia merancang memulakan pemasaran PV7 di Korea Selatan dan Eropah pada separuh kedua tahun 2027 sebelum diperluaskan ke pasaran global lain.
Pengeluar itu juga mengesahkan model lebih besar, PV9, akan diperkenalkan pada tahun 2029 bagi melengkapkan barisan kenderaan komersial elektriknya.
GALERI:

















