
TEASER KIA CETUS SPEKULASI: ADAKAH INI PENGGANTI STINGER?
Kia sekali lagi mencetuskan spekulasi selepas memuat naik satu teaser gelap di media sosial — kali ini mempamerkan sebuah sedan elektrik berprofil sporty yang terus mengundang persoalan sama ada inilah pewaris spiritual kepada Stinger.
Walaupun bayangannya samar, bentuk keseluruhan mendedahkan banyak petunjuk menarik. Bahagian kabin ditolak jauh ke depan, jarak roda panjang dan overhang yang hampir tiada menunjukkan model ini tidak lagi mengikuti resepi enjin hadapan RWD seperti Stinger terdahulu.
Melihat garis sisi pula, model ini nampak seperti empat pintu yang menyamar sebagai supercar — cermin hadapan yang sangat landai bersambung terus dengan bumbung hingga ke bahagian tempat duduk belakang.

Di belakang, cermin pula melengkung dalam arah bertentangan, siap dengan elemen kaca yang kelihatan bersilang antara bumbung dan tingkap belakang.
Dalam imej telah “dicerahkan” oleh peminat, kelihatan bahu yang tegap persis EV4 serta lampu nyalaan hadapan yang memanjang masuk ke bahagian sisi cermin kamera.
Di sebalik kaca gelap, turut kelihatan bentuk seperti stereng jenis yoke, memberi bayangan konsep ini mungkin menggunakan sistem steer-by-wire, seakan teknologi pada Lexus RZ.
Kia belum mendedahkan nama rasmi atau bila ia akan dipertontonkan, namun kedudukannya dijangka berada di antara EV6 dan EV9, mungkin sebagai EV7 atau EV8.

Itu selari dengan kenyataan terdahulu Presiden Kia, Ho Sung Song, yang pernah menyebut minat untuk menghasilkan sebuah model prestasi sebagai “halo car” elektrik bagi mengangkat imej jenama.
Perbincangan tentang pengganti Stinger pastinya mengingatkan betapa radikalnya model asal ketika dilancar pada 2017 — sebuah fastback RWD hasil sentuhan bekas jurutera BMW M, dengan pilihan enjin 2.0 liter turbo atau 3.3 liter V6 berkembar turbo.
Ia mengubah persepsi ramai terhadap Kia, walaupun jualannya tidak memecah rekod dan akhirnya dihentikan pada 2023.
Namun landskap automotif sudah berubah. Kehadiran model seperti EV9 membuktikan pelanggan kini sanggup membayar premium untuk sebuah Kia elektrik yang serius.
Pun begitu, keputusan Kia menangguhkan pelancaran EV9 GT tahun ini kerana “keadaan pasaran” membuka persoalan: adakah konsep sedan baharu ini lebih sesuai jika ditawarkan sebagai hibrid jarak jauh (range extender)?
Apa pun bentuk akhirnya, teaser ini sudah cukup untuk membuatkan ramai percaya bahawa Kia sedang bersedia menghidupkan kembali semangat Stinger, tetapi dalam era elektrik.







