
KIA LAKAR BAB BAHARU DI MALAYSIA, RANGKA RANCANGAN MASA PANJANG
Kia kembali mengukuhkan kedudukannya di Malaysia melalui penubuhan Kia Sales Malaysia Sdn Bhd (KSM), entiti yang kini mewakili Kia Corporation secara langsung.
Presiden dan CEO KSM, Hyung Ho Kim, menegaskan komitmen Kia untuk berkembang secara mampan sambil mengutamakan pelanggan, pengedar dan industri automotif tempatan.
Malaysia memainkan peranan penting sebagai lokasi ibu pejabat Kia Asia Pacific (Kia APAC), pusat pengurusan strategik bagi 33 pasaran termasuk ASEAN, Australia dan New Zealand.
Pada 2024, Kia mencatat 3.4 peratus bahagian pasaran rantau ini dengan jualan melebihi 165,000 unit, disokong lebih 100 kakitangan tempatan.

Pengarah Urusan KSM, Emily Lek, berkata penyertaan semula Kia kali ini dilakukan sebagai entiti rasmi dan bukannya melalui pengedar.
Bermula 1 Januari 2026, KSM akan menguruskan keseluruhan operasi termasuk pemasaran, jualan, pengalaman pelanggan dan latihan.
KSM turut menampilkan barisan kepimpinan tempatan merangkumi Hafiz Zaim (Produk & Perhubungan Kerajaan), Victor Chan (Jualan), Rafhan Saiah (Pemilikan), Vince Yeoh (Pemasaran) dan Phang Chee Wei (Saluran).

Untuk mengukuhkan semula kedudukan jenama, Kia memberi tumpuan kepada tiga perkara utama:
- Piawaian operasi global, termasuk strategi penjenamaan “Kenapa Pilih Kia?”
- Pembangunan semula rangkaian pengedar dengan pengalaman pelanggan yang konsisten.
- Penyegaran barisan produk yang dipilih teliti mengikut keperluan pasaran Malaysia.
Selaras slogan “Movement that Inspires”, Kia mahu mencetuskan perubahan dan inspirasi melalui setiap pengalaman pelanggan, bukan sekadar melalui produknya.
Dari segi penawaran, Kia mengekalkan portfolio yang merangkumi model enjin pembakaran dalaman dan elektrik, termasuk Kia Sportage 2025, Kia Carnival, serta Kia EV9 GT Line.
Menurut Hyung Ho Kim, Kia kini memasuki fasa menarik di Malaysia dengan perancangan jangka panjang yang dipacu pasukan berpengalaman untuk merancakkan semula pasaran tempatan.







