
KIA SEDIA CABAR VW DENGAN VAN ELEKTRIK SEPANJANG 5.3 METER
Kia bersedia memperkenalkan van elektrik baharu, PV7, pada acara IAA Transportation yang berlangsung pada 14 September ini.
Menjelang pelancarannya, beberapa imej acah telah didedahkan, manakala unit prototaip model tersebut turut dikesan sedang menjalani ujian jalan raya di Eropah.
PV7 bakal menjadi model kedua dalam keluarga Platform Beyond Vehicle (PBV) Kia selepas kemunculan PV5.
Dari segi reka bentuk, van ini menampilkan bahagian hadapan yang ringkas dengan cermin depan bersaiz besar, disertai kemasan hitam pada bahagian atas badan dan pelindung plastik hitam di bahagian bawah.

Reka bentuk keseluruhannya lebih menjurus kepada konsep “satu kotak” (one-box), dengan bentuk badan yang hampir menyerupai kotak bergerak bagi memaksimumkan ruang dalaman.
Prototaip yang dirakam turut menunjukkan penggunaan dua pintu gelangsar di kedua-dua sisi serta susunan tingkap yang unik di bahagian tengah.
Bumbung yang rata membantu meningkatkan kapasiti kargo, manakala bahagian belakang pula dilengkapi pintu angkat menegak, bampar ringkas dan lampu belakang menegak yang memanjang ke atas. Tiang belakang yang tebal dengan kemasan hitam turut memberikan ilusi bumbung dan tingkap bersambung.

Kia sebelum ini pernah mempamerkan konsep awal model tersebut pada 2024. Berdasarkan laporan, PV7 dijangka mempunyai panjang sekitar 5,300mm, menjadikannya jauh lebih besar berbanding PV5 Cargo Long yang berukuran 4,695mm panjang dengan jarak roda 2,995mm.
Dari aspek teknikal, PV7 akan dibangunkan menggunakan platform Electric-Global Modular Platform for Service (E-GMP.S), iaitu versi khusus untuk kenderaan komersial yang diasaskan daripada seni bina E-GMP. Platform yang sama turut menjadi asas kepada beberapa model elektrik Hyundai dan Kia yang lain.
Setakat ini, Kia masih belum mendedahkan spesifikasi rasmi sistem pacuan PV7. Namun, berdasarkan konfigurasi PV5, model itu ditawarkan dengan pilihan bateri 43.3kWh jenis LFP serta bateri NCM berkapasiti 51.5kWh dan 71.2kWh.

Motor elektrik pada PV5 menghasilkan sehingga 120kW (163hp) dan tork 250Nm. Memandangkan PV7 mempunyai dimensi yang lebih besar, ia dijangka menggunakan bateri berkapasiti lebih tinggi serta kemungkinan menerima motor elektrik yang lebih berkuasa bagi memenuhi keperluan operasi komersial.
Semua maklumat rasmi mengenai Kia PV7 dijangka diumumkan sepenuhnya ketika pelancarannya pada pertengahan September nanti.






