Buletin

KIA PV5 KAWALAN JAUH KINI DIUJI, BAKAL DIKOMERSIALKAN PADA 2027

Kia memperkenalkan perkhidmatan perkongsian kenderaan berasaskan teknologi pemanduan kawalan jauh di Korea Selatan, dengan van elektrik PV5 menjadi model pertama digunakan dalam projek perintis berkenaan.

Perkhidmatan itu mula beroperasi pada Khamis di Pangyo, wilayah Gyeonggi, dan dijadualkan berlangsung sehingga penghujung tahun ini.

Menurut Kia, inisiatif tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Korea Selatan, menggabungkan teknologi pemanduan kawalan jauh dalam perkhidmatan perkongsian kenderaan.

Menerusi sistem berkenaan, pengguna boleh menempah PV5 melalui aplikasi khusus sebelum kenderaan itu dihantar ke lokasi pilihan mereka tanpa pemandu di dalamnya. Pergerakan kenderaan dikendalikan menggunakan teknologi pemanduan kawalan jauh.

Selepas selesai digunakan, pelanggan boleh meletakkan kenderaan di lokasi yang bersesuaian. Pemandu kawalan jauh kemudian akan menggerakkan van berkenaan kembali ke garaj menggunakan rangkaian komunikasi tanpa wayar 4G atau 5G.

Kia menyifatkan pendekatan itu berpotensi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, khususnya bagi syarikat yang memerlukan kenderaan untuk kegunaan harian tanpa perlu menanggung sepenuhnya beban pemilikan dan pengurusan armada sendiri.

Projek perintis tersebut turut menjadi sebahagian daripada usaha Kia memperluas pembangunan teknologi pemanduan kawalan jauh sebelum dikomersialkan secara lebih meluas.

Pada April lalu, Kia menerima pengecualian khas di bawah mekanisme kawal selia regulatory sandbox bagi teknologi pemanduan kawalan jauh daripada Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan.

Pada November 2025, syarikat itu turut membentuk konsortium bersama Socar, KT dan syarikat pemula teknologi pemanduan autonomi SUM. Kerjasama tersebut menyaksikan demonstrasi pemanduan kawalan jauh pertama di jalan awam oleh jenama tempatan Korea Selatan.

Kia kemudiannya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama KT dan SUM pada Julai lalu bagi mempercepatkan usaha pengkomersialan teknologi berkenaan, dengan sasaran memperkenalkan perkhidmatan itu dalam tempoh setahun.

Bagi projek perintis terbaharu, Kia bekerjasama dengan SUM, Mobiops dan Agensi Keselamatan Lalu Lintas Jalan Raya Korea Selatan. Beberapa organisasi lain, termasuk kerajaan wilayah Gyeonggi dan KT, turut bertindak sebagai rakan sokongan.

Kia bertanggungjawab menyediakan van PV5 serta menyelia keseluruhan projek, manakala SUM membangunkan sistem pemanduan kawalan jauh dan Mobiops mengendalikan operasi perkhidmatan.

Agensi Keselamatan Lalu Lintas Jalan Raya Korea Selatan pula membantu dalam penilaian aspek kawal selia.

Sepanjang tempoh percubaan, pihak terlibat akan menilai keupayaan teknologi tersebut serta kebolehlaksanaan operasi dalam keadaan penggunaan sebenar.

Data yang dikumpulkan akan digunakan untuk menambah baik sistem berkenaan, sebelum Kia merancang memperluas perkhidmatan itu pada 2027 bagi mempercepatkan pelaksanaan komersial perkhidmatan pemanduan kawalan jauh berasaskan PV5.

Google ads
Back to top button