Buletin

KIA PICANTO SUKU KEEMPAT 2013

Memetik laporan agensi berita Bernama, pengedar kenderaan jenama Kia di Malaysia,
Naza Kia Malaysia Sdn. Bhd. (Naza Kia) merancang untuk melancarkan Kia Picanto baharu menjelang suku keempat tahun ini. 

K_2828

Ketua Pegawai Operasi Naza Kia, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar memberitahu pihaknya mensasarkan untuk menjual 400 unit Kia Picanto baharu sebulan. Pelanggan sasarnya terdiri daripada golongan yang pertama kali membeli kereta.

“Kami harap dapat melancarkannya paling awal pada pertengahan Oktober. Harga masih dalam kajian. Tetapi kami menjangkakan harganya sekitar RM55,000 hingga RM65,000,” kata Hafiz.

K_2861
Kia Picanto akan ditawarkan dalam varian manual dan automatik. Sebelum ini, Naza Kia tidak pernah menawarkan versi manual untuk model Picanto. Langkah itu diambil berikutan ia percaya bahawa permintaan terhadap kereta manual masih kukuh terutama di luar Lembah Klang. Permintaan itu banyak didorong oleh faktor harga dan penjimatan bahan api.

Ditanya kenapa Naza Kia mengambil masa yang lama untuk membawa kereta segmen A itu ke pasaran tempatan, Hafiz menyatakan ketika pihaknya memulakan rancangan pemulihan selama tiga tahun, perkara pertama difikirkan ialah model lebih kecil seperti Picanto adalah yang terakhir akan dibawa masuk.

K_2831
“Sebabnya, sebelum ini imej jenama Kia adalah rendah.  Jika kami memulakan rancangan pemulihan dengan membawa kereta segmen A, harga kami tidak akan menarik.

“Itulah sebabnya apabila kami melaksanakan rancangan pemulihan, kami mulakan dengan segmen D. Apabila jenama Kia sudah kukuh, barulah kami membawa masuk model segmen A, iaitu Picanto,” jelasnya.

K_2848
Kia Picanto baharu dikuasakan oleh enjin Kappa bersesaran 1.2 liter. Ia didakwa mampu mencatatkan kadar penggunaan bahan api 17 kilometer bagi setiap liter petrol. Hafiz juga mendedahkan Naza Kia bakal menampilkan kenderaan pelbagai guna (MPV) pada tahun depan.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button