
KIA SASAR 1 JUTA JUALAN EV, EV1 JADI MODEL MAMPU MILIK PERTAMA
Kia mendedahkan pelan produk masa depan yang lebih agresif, dengan tumpuan awal diberikan kepada model kompak baharu dikenali sebagai EV1.
Hatchback elektrik bersaiz kecil itu dijangka menjadi model EV paling mampu milik jenama Korea Selatan tersebut apabila dilancarkan sekitar tahun hadapan, khusus untuk pasaran Eropah.
EV1 digambarkan sebagai alternatif lebih rendah dan lebih sporty berbanding EV2, serta menyasarkan segmen supermini yang sengit.
Ia bakal bersaing dengan model seperti Renault 5, Peugeot e-208 dan Vauxhall Corsa Electric. Fokus utamanya adalah menawarkan mobiliti elektrik yang lebih mudah dicapai tanpa mengorbankan teknologi moden.
Dari segi teknikal, EV1 dijangka berkongsi asas dengan EV2 menggunakan platform E-GMP 400 volt. Varian asas berkemungkinan menggunakan bateri sekitar 42.2kWh dengan jarak pemanduan kira-kira 322km, manakala versi lebih tinggi boleh menerima pek 61kWh yang mampu menghampiri 483km.

Output kuasa pula dianggarkan sekitar 145hp, hampir sama seperti spesifikasi EV2.
Menariknya, EV1 turut disebut sebagai model pertama dalam segmennya yang dibangunkan sebagai “software-defined vehicle”, membolehkan sistem kenderaan, fungsi infotainmen dan kemas kini dilakukan secara digital serta lebih menyeluruh.
Walaupun sarat teknologi, harga permulaan dijangka sedikit melebihi £20,000 (sekitar RM120,000), menjadikannya antara EV arus perdana paling mampu milik di Eropah.
Namun EV1 hanyalah sebahagian daripada strategi lebih besar Kia. Pengeluar itu menyasarkan sehingga 14 model elektrik global menjelang 2030, dengan jualan tahunan EV mencecah satu juta unit.
Sasaran keseluruhan pula ialah 4.13 juta jualan global dan pegangan pasaran sekitar 4.5 peratus.

Selain itu, Kia turut membangunkan platform EV generasi baharu yang mampu menawarkan kapasiti bateri sehingga 40 peratus lebih besar, ketumpatan tenaga meningkat 15 peratus serta motor lebih berkuasa sekitar 9 peratus.
Bukan itu sahaja, sebuah SUV elektrik baharu yang mengisi jurang antara EV5 dan EV9 juga sedang dirancang.
Walaupun mempercepatkan elektrifikasi, Kia tidak meninggalkan teknologi hibrid. Sebanyak 13 model HEV dirancang dengan sasaran jualan tahunan 1.1 juta unit.
Versi hibrid bagi model penting seperti Telluride, Seltos dan K4 turut disahkan, selain trak ladder-frame bersaiz sederhana yang bakal hadir dengan pilihan hibrid serta range-extender sebelum 2030.
Dalam masa sama, Kia juga memperluaskan barisan kenderaan komersial elektrik. Selepas PV5, model lebih besar iaitu PV7 dijangka muncul pada 2027 diikuti PV9 sekitar 2029.
Jenama itu turut memberi fokus kepada pembangunan robotik termasuk robot kilang dan penyelesaian penghantaran automatik.
Secara keseluruhan, walaupun EV1 hadir sebagai model kecil, ia menjadi pembuka tirai kepada gelombang besar model baharu yang bakal membentuk hala tuju masa depan Kia.



