Buletin

DEEPAL S05 REEV JADI TARUHAN BAHARU CHANGAN DI INDONESIA

Pengeluar automotif dari China, Changan, memperkenalkan model baharu Deepal S05 REEV buat pertama kali di Indonesia.

Kehadiran model berkenaan sekali gus menandakan kemunculan teknologi Range Extender Electric Vehicle (REEV) dalam segmen SUV elektrik di negara itu.

Model tersebut menjadi antara tiga kenderaan baharu yang dirancang untuk diperkenalkan sepanjang tahun 2026, sebagai langkah memperkukuh kehadiran jenama tersebut dalam pasaran elektrifikasi.

Deepal S05 REEV dilihat sebagai strategi Changan untuk menawarkan alternatif kepada pengguna yang mahu merasai pemanduan kenderaan elektrik, namun masih memerlukan fleksibiliti perjalanan jarak jauh tanpa terlalu bergantung kepada rangkaian pengecasan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Changan Indonesia, Setiawan Surya berkata, syarikat itu melihat potensi besar dalam pertumbuhan ekosistem kenderaan elektrifikasi di negara tersebut.

Selepas memperkenalkan Changan Lumin dan Deepal S07, pihaknya merancang melancarkan tiga model baharu secara berperingkat sehingga hujung tahun ini bagi meluaskan pilihan kepada pengguna.

Deepal S05 REEV menggunakan sistem REEV yang digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik, memberikan pengalaman pemanduan senyap serta lebih lancar.

Ia turut dilengkapi enjin generator dalaman yang berfungsi mengecas bateri secara automatik, sekali gus membantu mengurangkan kebimbangan terhadap jarak perjalanan.

Dari segi reka bentuk, SUV ini menampilkan falsafah “Symbiotic Aesthetics” yang moden dan futuristik, selain pernah menerima pengiktirafan iF Design Award 2025.

Bahagian hadapan diinspirasikan daripada elemen aeronautik, manakala sisi badan menampilkan pintu tanpa bingkai bersama pemegang pintu elektrik bagi menyerlahkan imej premium.

Deepal S05 REEV berukuran 4,620mm panjang, 1,900mm lebar dan 1,600mm tinggi, dengan jarak roda 2,880mm.

Dimensi tersebut memberikan profil yang seimbang, sporty dan kukuh. Ia turut dipadankan dengan rim 18-inci bagi meningkatkan karakter dinamik.

Di bahagian belakang, lampu LED nipis digabungkan dengan diffuser aerodinamik, sementara pekali seretan angin rendah 0.25 Cd membantu meningkatkan kecekapan tenaga serta kestabilan ketika pemanduan.

Pengenalan model ini juga selari dengan visi global Changan, “Sharing The Future”, melalui gabungan teknologi elektrifikasi, reka bentuk moden dan kecekapan tinggi bagi memenuhi keperluan mobiliti masa hadapan.

Google ads
Back to top button