Pandu Uji

HYUNDAI SANTA FE, EVOLUSI REKAAN YANG KONTREVERSI

Untuk perjalanan jarak jauh melebihi 4 jam, penulis memang memerlukan sebuah MPV atau SUV dengan 7 tempat duduk. Lebih besar kenderaan, lebih luas adalah satu komoditi yang sukar untuk dilawan dengan mana mana aspek sekalipun

Penulis dengan 3 anak Rebena yang kecil sudah merasai sendiri pengalaman menaiki Kia Carnival untuk pulang beraya pada tahun 2024. Walaupun terasa Carnival ini datang dengan saiz yang melampau, tetapi keupayaannya untuk menelan semua barang barang peribadi ketika balik beraya di kampung halaman adalah cukup menakjubkan.

Ia meletak satu penanda aras yang tinggi dan sukar untuk ditandingi oleh jenama lain. Jadi untuk pulang beraya pada tahun 2025, penulis sekadar mencuba Hyundai Santa Fe 1.6 turbo hybrid generasi yang lama. Ya walaupun tidak sebesar Kia Carnival yang menggunakan diesel kayangan, Hyundai Santa Fe 1.6 Hybrid tetap menjadi pilihan penulis untuk pulang ke kampung

Aspek pertama ialah rekaan Santa Fe lama yang kemas dengan unsur rekaan seperti diinspirasikan oleh BMW terutama di bahagian belakang. Aspek kedua ialah sistem hybrid yang tidak menyebabkan poket penulis rabak untuk beraya dan bergaya

Dan aspek ketiga ialah ia tetap datang dengan sistem turbo. Apabila menggunakan sistem hibrid dan turbo mampu menghamburkan kuasa yang menyebabkan ramai pengguna jalan raya yang lain terkulat-kulat selepas membaca emblem “hybrid” di pintu belakang

Untuk model tahun 2026 dan sambutan hari raya 2026, penulis memang meminta untuk meminjam Santa Fe 1.6 Max Hybrid sekali lagi. Bukan sekadar meminjam, tapi penulis ingin menilai adakah rekaan luaran Santa Fe ini terlalu futuristik atau terlalu berani?

Kalau tengok sekali imbas, memang ramai akan keliru dengan rekaan luar SUV segmen D ini. Ini Hyundai Santa Fe atau Range Rover? Sekiranya dilihat dari sisi dan depan ia tampil dengan bayangan hampir sama dengan Range Rover Discovery.

Faktor ini disebabkan rekaan Santa Fe generasi terbaru ni memang lari jauh daripada model lama. Hyundai pilih pendekatan lebih berani dengan bentuk badan yang kotak, tegap dan premium aspek yang sangat sinonim dengan SUV mewah.

Tetapi apa yang menjadikannya unik ialah Hyundai memasukkan identiti sendiri mereka melalui elemen “H” yang konsisten di seluruh kereta. Lampu LED DRL depan berbentuk “H”, rekaan bumper pun ada signature yang sama, dan di belakang juga mengikut tema serupa dengan logo Hyundai yang jelas terpampang.

Walaupun ada bayangan Range Rover, Santa Fe masih berjaya kekalkan identiti sendiri. Cuma pada padangan penulis, Hyundai kurang berjaya mengadaptasi rekaan berkotak di bahagian belakang. Rekaan bampar menguncup di bahagian bawah serta bampar sendiri rapat ke panel badan.

Sekali imbas Santa Fe kelihatan seperti sebuah wagon yang besar. Apatah lagi jururekabentuk sangat gemar meletakkan lampu belakang terlalu rendah di bampar. Gabungan 2 unsur ini menjadikan rekaan belakang terlalu tidak boleh diterima sekiranya anda pandang kali pertama

Tetapi kalau dilihat banyak kali, rekaan Santa Fe ini secara keseluruhan seakan-akan mula disemai secara diam diam dalam kepala anda. Apatah lagi rekaan berkotak ini menawarkan kecekapan ruang dalaman yang jauh lebih baik berbanding dengan rekaan lama.

Masuk ke dalam kabin, suasananya terus berubah menjadi lebih moden, ringkas dan canggih. Paparan utama menggunakan 2 skrin melengkung bersaiz 12 inci yang menyokong integrasi Android Auto dan Apple CarPlay.

Sistem audio pula dipertingkatkan dengan 12 pembesar suara daripada Bose, memberikan pengalaman bunyi yang lebih premium. Menariknya, rekaan gear lever tradisional telah digugurkan dan digantikan dengan susun atur lebih praktikal, membuka ruang untuk dua pengecas tanpa wayar serta tiga ruang simpanan tambahan.

Ini menunjukkan Hyundai benar-benar memikirkan penggunaan harian pengguna moden. Malah Hyundai menyediakan ruang simpanan tambahan pada papan pemuka, di bawah tempat mengecas telefon, dan ruang simpanan konsol tengah yang besar dengan 2 kaedah pembukaan.

Bahagian tempat duduk baris kedua juga direka dengan teliti dan menerima banyak pembaharuan. Penumpang mendapat kemudahan corong penghawa dingin yang diletakkan di B-pillar, ruang simpanan tambahan, penyangkut barang serta akses mudah ke baris ketiga melalui fungsi one-touch.

Malah, ruang pemegang botol juga cukup besar untuk memuatkan sehingga tiga botol, satu ciri kecil tetapi sangat praktikal dalam penggunaan harian keluarga selain bidai untuk cermin sisi disediakan untuk tujuan privasi.

Masuk ke bahagian tempat duduk barisan ke 3, kemasan dalaman jelas menunjukkan Santa Fe dibina dengan fokus kepada ruang dan praktikal. Ruang but menawarkan kapasiti 628 liter dalam keadaan 5 tempat duduk. Dengan hanya satu tekan suis, tempat duduk baris kedua boleh dilipat secara automatik untuk membuka ruang sehingga 1963 liter.

Ini bukan sekadar besar, tapi fleksibel ikut keperluan harian. Penumpang belakang juga tidak diabaikan kerana tersedia vent penghawa dingin, port USB dan kawalan sendiri untuk keselesaan tambahan. Malah, pintu but juga menggunakan sistem kuasa (power tailgate), memudahkan akses terutama bila tangan penuh dengan barang.

Untuk varian Prestige, ia tampil lebih bergaya dengan rim bersaiz 20 inci yang menambah lagi aura SUV premium berbeza dengan model sebelum ini yang menggunakan rim bersaiz 19 inci. Nampak lawa tapi penulis rasakan ia sedikit menjejaskan keselesaan.

Dari segi kuasa Santa Fe mungkin nampak sederhana atas kertas dengan enjin 1.6 liter 4 silinder, tetapi jangan tertipu. Enjin turbo ini digabungkan dengan sistem hybrid, menghasilkan sekitar 180 PS dan 265 Nm, manakala motor elektrik menyumbang tambahan 65 PS dan 264 Nm.

Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan gabungan kuasa sebanyak 235 PS dan 367 Nm. Hasilnya, Santa Fe boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam sekitar 8 saat cukup pantas untuk sebuah SUV keluarga bersaiz besar.

Namun pada kebanyakan masa penulis memandu dalam mode Hybrid yang mampu menawarkan penggunaan petrol yang cekap, sekitar 18.5km/liter petrol. Dalam mode ini, motor elektrik memacu roda dan sesekali enjin akan hidup untuk membantu motor elektrik atau mengecaj bateri sistem hibrid.

Dalam mode ini, meter digital berwarna biru, meter energy flow hanya memaparkan status Charge, Eco atau Power sahaja. Paddleshifter pula berfungsi untuk mengawal kekuatan brek regeneratif.Dalam mode ini kuasa yang dijana oleh trenkuasa Santa Fe terasa sedikit malap dan biasa biasa sahaja.

Namun jika anda menukar ke mode Sport, meter digital akan bertukar menjadi warna merah menyala dan bacaan energy flow tadi akan bertukar kepada meter RPM. Paddleshifter pula berfungsi untuk menukar gear, membolehkan anda mengawal kedudukan gear setiap masa.

Pada ketika ini, drop gear dan tekan pedal minyak menyebabkan Santa Fe bertukar menjadi buas. Kuasa bateri dihantar ke motor elektrik seperti rasa disentap sentap. Ia adalah karekter pemanduan sama yang ada pada model lama Santa Fe.

Jika dalam mode Hybrid anda tidak sedar bile enjin hidup, dalam mode Sport deruman enjin jelas terasa. Kawalan gear dibuat dengan lancar dan penulis boleh rasakan gabungan kuasa motor elektrik dan sistem turbo beroperasi dengan sangat serasi

Cuma bila sampai di selekoh, SUV besar dan tinggi ini tidak sesuai meratah selekoh dengan laju. Jika terlalu laju, olengan cesi akan terasa, mungkin lebih daripada model lama yang hanya menggunakan rim 19. Rim 20 ini juga bagi penulis sedikit sebanyak mengganggu ride height dan keselesaan penulis

Malah dalam sesetengah keadaan, keadan pemukaan jalan yang tidak rata juga menyebabkan roda terpaksa bekerja keras bagi mengurangkan lantunan pada cesi. Berdasarkan pengalaman penulis, menggunakan rim yang lebih kecil akan mengurangkan isu ini dengan ketara.

Tekan sahaja brek dan gabungan operasi brek regeneratif dan brek mekanikal beroperasi dengan baik. Mungkin sesekali penulis diberi amaran oleh sistem ADAS dan dalam satu kejadian, brek kecemasan dibuat secara automatik walaupun kaki penulis sudah bersedia di pedal brek

Malah sistem lain seperti Blind Spot View Monitor dikekalkan, menawarkan penglihatan kepada pemandu untuk mengintai di ruang tersembunyi ketika lampu isyarat membelok diaktifkan. Malah ciri RCTA ditawarkan dengan ciri brek automatik serta peringatan pada pemandu melalui getaran pada roda stering.

Secara keseluruhannya, Santa Fe baharu ini bukan sekadar perubahan kosmetik, tetapi satu lonjakan besar dari segi falsafah rekaan dan fungsi. Ia menggabungkan rupa premium ala Range Rover, kepraktisan seperti MPV, serta teknologi moden yang semakin hampir dengan pengalaman kenderaan elektrik.

Dalam erti kata lain, ini adalah sebuah SUV yang bukan sahaja nampak mahal, tetapi juga benar-benar direka untuk memenuhi keperluan keluarga moden. Dengan harga sekitar RM 245,000 mungkin harganya sedikit mahal, tetapi bagi mereka yang mampu model ini adalah satu penyataan “ikut suka aku la nak beli kereta ni, sebab aku mampu”.

Google ads
Back to top button