Buletin

LAMBORGHINI CATAT HASIL LEBIH TINGGI PADA 2023, URUS BAHARU GUNA PHEV

2023 merupakan tahun terbaik buat Automobili Lamborghini yang mencatatkan keputusan kewangan cemerlang.

Hasil syarikat mencecah 2.66 bilion Euro (RM13.66 bilion) dengan peningkatan 12.1 peratus berbanding 2022.

Jualan berjaya melepasi angka 10,000 unit untuk tahun kedua berturut-turut dengan jumlah 10,112 unit atau pertambahan 9.5 peratus berbanding 2022.

Untung kendalian meningkat 17.8 peratus kepada 723 juta Euro (RM3.7 bilion) dan kali pertama melepasi 700 juta Euro. Margin kendali sebanyak 27.2 peratus.

Untung kendali mula berkembang sejak 2017 dan memuncak pada tahun lalu.

Di sebalik pencapaian kewangan, ada perkara menarik iaitu pesanan Urus dan Huracán sudah penuh sehingga tamat tempoh pengeluaran pada tahun ini.

Lamborghini mengesahkan Urus baharu akan menggunakan rangkaian kuasa hibrid plug-in (PHEV) dan bakal diperkenal pada tahun ini termasuk Huracán baharu.

Sejak dikeluarkan pada 2017, Urus benar-benar berjasa kepada Lamborghini dan berjaya menggandakan jualan syarikat.

Gaya Urus tidak banyak berubah sejak 2017 kecuali Urus Performante dan Urus S yang diperkenal pada Ogos 2022. Urus Performante paling berprestasi dengan kelajuan 306 kilometer sejam (km/j).

Pecutan 0 sehingga 100 km/j hanya perlu 3.3 saat manakala 0 sehingga 200 km/j dalam masa 11.5 saat.

Daya membrek 100 km/j sehingga pegun memerlukan 32.9 meter dan lebih singkat daripada Urus S dengan jarak 33.7 meter. Berat Performante 2,150 kilogram (kg) atau 47 kg lebih ringan daripada Urus S.

Selain model baharu, 2024 menyaksikan Lamborghini menyertai perlumbaan ketahanan di serata dunia menggunakan jentera lumba hibrid SC63.

Memasuki era hibrid bermakna pemilik model Lamborghini sebelum ini terutama sekali edisi terhad menyimpan khazanah dunia automotif.

Jualan model Lamborghini pada 2023:

  1. Urus: 6,087 unit
  2. Huracán: 3,962 unit
  3. Model V12: 63 unit (12 Aventador, 51 edisi terhad)

Pasaran terbesar (negara) Lamborghini pada 2023:

  1. Amerika Syarikat: 3,000 unit
  2. Jerman: 961 unit
  3. China: 845 unit

Google ads
"
"
Back to top button