Buletin

LAMBORGHINI GALLARDO SPYDER PERNAH DIMILIKI ROD STEWART AKAN DILELONG – JANGKAAN HARGA RM792K

Sebuah Lamborghini Gallardo Spyder yang pernah dimiliki oleh penyanyi terkenal, Sir Rod Stewart akan dilelong tidak lama lagi.

Ini merupakan kali kedua Stewart melelong kereta mahalnya dalam tempoh setahun. Jentera berwarna biru itu dibeli oleh Stewart pada tahun 2007 sebelum dijual kepada seorang individu tidak dikenali dua tahun kemudian.

Kereta itu berada dalam kondisi yang sangat baik walaupun sudah dua kali bertukar tangan. Rumah lelongan RM Sotheby’s berharap dapat melelongnya pada harga £150,000 (RM792,400) pada 5 September depan.

Stewart membeli Spyder itu menerusi pengedar Lamborghini Edinburgh. Selain semua dokumen pembelian, pemilik baharu juga akan menerima sekeping CD yang mengandungi gambar Stewart bersama kereta tersebut di rumah mewahnya serta surat yang ditulis kepada pembeli kedua pada tahun 2009.

Jelas sekali Stewart jarang memandu kereta tersebut. Dokumen menunjukkan bahawa servis terakhirnya dilakukan oleh Lamborghini Viena pada Oktober 2017 dan odometernya hanya mencatat perbatuan sejauh 4,839km sahaja.

“Dijaga dengan baik dan berada dalam keadaan cantik, Gallardo Spyder ini ialah jentera yang luar biasa serta sukar ditemui Ia bukan sehaja pernah dimiliki oleh seorang selebriti, malah ia masih mengekalkan warna asal dan tidak pernah terlibat dalam kemalangan,” kata RM Sotheby’s.

Cat asalnya ialah Celeste Phoebe, sejenis warna biru yang sering digunakan oleh Lamborghini pada kereta-kereta awalnya. Bahagian kabin pula menggnakan skema warna biru Blu Scylla dan Avorio.

Google ads
Back to top button