LAMBORGHINI HURACAN STERRATO – SEDIA MASUK LALUAN OFF-ROAD
Automobili Lamborghini dilihat cuba untuk meneroka pasaran baharu apabila memperkenalkan model konsep Lamborghini Huracán Sterrato.
Dibina di atas model V10 Huracán EVO, Sterrato mengetengahkan kepakaran Lamborghini dalam menghasilkan model off-road yang sebelum ini diserlahkan menerusi super SUV Lamborghini Urus.
Sterrato menggunakan khidmat enjin aspirasi biasa bersesaran 5.2 liter berkuasa 640hp.
Sistem Lamborghini Dinamica Veicolo Integrata (LDVI) mengawal pacuan empat roda, stereng, suspensi dan torque vectoring demi menawarkan dinamik pemanduan yang sempurna.
Dikaliberasi untuk kegunaan off-road dengan cengkaman dan pecutan maksimum, sistem LDVI meningkatkan tujahan roda belakang, selain memastikan kestabilan.
Dari segi luaran, jentera itu ditinggi sebanyak 47mm dengan sudut pelepasan ditingkatkan sehingga 6.5 peratus. Rim bersaiz 20 inci dibalut dengan tayar berbunga tebal, bersama arca roda yang luas dan corong pengambilan udara bersepadu.
Bahagian bawah dipasang dengan kepingan besi perlindungan. Manakala material aluminium digunakan pada kerangka hadapan dan sisi. Komposit khas disalut pada bahagian enjin, corong pengambilan udara dan madgad.
Ruang kabin Sterrato dilengkapi roll cage titanium ringan, tali pinggang keledar empat poin, tempat duduk karbon dan panel lantai aluminium.
“Huracán Sterrato menunjukkan versatiliti Huracan. Pasukan R&D dan reka bentuk Lamborghini sentiasa meneroka peluang baru,” kata Ketua Pegawai Teknikal Automobili Lamborghini, Maurizio Reggiani.