Buletin

NISSAN NAIK TARAF NAVARA 2020 – ENJIN TWIN-TURBO, 190PS & TORK 435NM

Sejak dipasarkan pada tahun 2014, Navara generasi ketiga sememangnya merupakan antara trak pikap terbaik di dunia.

Popularitinya kian meningkat apabila ia menjadi model rebadge untuk Mercedes-Benz dan Renault. Untuk model tahun 2020, Navara tampil dengan banyak penambahbaikan.

Naik taraf paling ketara ialah penggunaan enjin Blue dCi turbo berkembar bersesaran 2.3 liter. Dua unit turbo itu membolehkan enjin empat selinder itu memenuhi standard emisi Euro 6d-TEMP.

Enjin tersebut didatangkan dengan dua pilihan output iaitu 163PS dan 190PS bersama tork 435Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan manual atau tujuh kelajuan automatik.

Varian trak pikap itu juga ditentukan oleh pilihan pacuan roda belakang, AWD, di samping single cab, double cab atau king cab.

Di ruang kabin, Navara 2020 dilengkapi sistem infohibur NissanConnect dengan skrin sentuh bersaiz 8.0 inci dan Apple CarPlay (bergantung kepada varian). Satu aplikasi yang membantu pemilik mengetahui baki minyak di dalam tangki, kedudukan kenderaan dan menghantar destinasi turut ditawarkan.

Jentera itu juga dipasang dengan lampu utama LED dan rim rekaan baharu. Suspensi belakang jenis multi-link dikekalkan, cuma kali ini, ia menawarkan tahap kelegaan tanah 25mm lebih tinggi.

Ubah suai ke atas suspensi itu mampu meningkatkan kapasiti mengangkut beban sehingga 45kg.

Brek gelendong belakang yang digunakan sebelum ini telah ditukar kepada brek jenis cakera. Sekali gus dapat menambah kuasa membrek sehingga 40 peratus.

Navara kini berada di 109 pasaran di seluruh dunia. Perniagaan kenderaan komersial kecil dan sederhana Nissan juga dilihat mengalami pertumbuhan positif.

Google ads
Back to top button