Buletin

‘LANE HOGGING’: TABIAT BURUK MENGUNDANG BAHAYA, SAMAN SEHINGGA RM2K

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menekankan bahawa ‘lane hogging’ merupakan kesalahan yang boleh membawa denda antara RM300 hingga RM2,000.

Dalam satu temu bual bersama Buletin Utama TV3, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, “Pemandu yang tidak mematuhi etika pemanduan dan memperlahankan trafik di lorong kanan sepatutnya segera beralih ke lorong kiri bagi memastikan perjalanan lebih lancar dan selamat.”

‘Lane hogging’, satu tabiat pemanduan yang bukan sahaja menyumbang kepada kesesakan lalu lintas, tetapi juga meningkatkan risiko kemalangan apabila pemandu lain terpaksa memotong dari sebelah kiri.

Menurut Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS), antara faktor utama tabiat ini adalah kurangnya disiplin pemanduan, penggunaan telefon bimbit ketika memandu, dan kecenderungan menggunakan lorong tengah secara berterusan.

Ramai yang beranggapan bahawa mereka boleh kekal di lorong kanan selagi memandu hampir dengan had laju yang dibenarkan.

Namun, ramai tidak sedar bahawa memandu perlahan di lorong kanan adalah satu kesalahan.

“Mereka merasakan berhak di lorong tersebut selagi memandu tidak melebihi had laju tetapi ramai tidak sedar memandu perlahan di lorong kanan adalah satu kesalahan,” menurut MIROS.

Oleh itu, marilah kita menjadi pemandu yang lebih bertanggungjawab. Gunakan lorong kiri jika memandu pada kelajuan biasa dan hanya gunakan lorong kanan apabila ingin memotong.

Dengan disiplin ini, bukan sahaja aliran trafik menjadi lebih teratur, tetapi keselamatan semua pengguna jalan raya juga dapat dijamin. – Buletin TV3

Google ads
"
"
Back to top button