LELAKI MAUT DILANGGAR KETIKA TUNGGU BANTUAN
Seorang lelaki maut dilanggar ketika sedang menunggu bantuan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 258.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini pada Isnin.
Kejadian jam 5.45 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 31 tahun dalam perjalanan dari Cyberjaya menghala ke Batu Pahat, Johor.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, sebelum itu kereta Perodua Myvi dipandu mangsa telah terbabas dan melanggar besi penghadang bahu kiri jalan.
“Mangsa kemudian turun dan berhenti di sebelah kiri jalan untuk menunggu bantuan.
“Namun selang beberapa minit, sebuah kereta Proton Persona yang berada di lorong kanan telah terbabas dan berpusing masuk ke lorong kiri lalu melanggar mangsa dan keretanya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah di perut dan kaki serta disahkan maut di lokasi kejadian.
Ujarnya, pemandu Proton Persona lelaki berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,”katanya.
Beliau berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati semasa memandu terutama pada waktu gelap dan cuaca yang tidak baik bagi mengelakkan sebarang kecelakaan. – Sinar Harian
- BACA: GMC TERRAIN 2025 – SUV KOMPAK KINI TAMPIL DENGAN IMEJ LEBIH RUGGED
- BACA: KERETA MIKRO ONE-OFF ASTON MARTIN IDAMAN KAMI – #BAIK BELI APA PULAK KALI NI?
- BACA: PROTON EKSPORT 261 UNIT MODEL SUV KE TRINIDAD DAN TOBAGO
- BACA: PERMINTAAN PETROL DI SINGAPURA MENURUN, STESEN MINYAK JADI KIOS MAKANAN SEGERA