
KERETA MIKRO ONE-OFF ASTON MARTIN IDAMAN KAMI – #BAIK BELI APA PULAK KALI NI?
Siapa yang tak kenal dengan Aston Martin, jenama supercar British yang sinonim dengan James Bond. Tapi rasanya ramai generasi baharu tak tahu yang Aston Martin turut pernah mengeluarkan kereta mikro ala Smart Car dan dinamakan Aston Marton Cygnet. Ia sebenarnya diasaskan daripada Toyota iQ dan dipasarkan khusus untuk kegunaan di bandar.
Kalau nak dikira dalam versi asal Toyota kereta ni tak adalah mewah sangat tapi bila direbadge kembali kepada Aston Martin standardnya terpaksa dinaikkan. Trenkuasa masih sama buatan Toyota tapi bahagian dalaman dimewahkan dengan penggunaan kulit dua tona dan Alcantara. Semua ori tahu bukan sintetik.
Aston menyasarkan untuk menjual 4,000 unit kereta ke pasaran Eropah tapi menemui err… kegagalan. Tahun pertama, 2011, mereka berjaya jual 261 unit, tahun berikutnya 172 dan diikuti 131 unit pada tahun berikutnya. Susah la sikit sebab harganya memang premium berbanding dengan versi Toyota yang tiga kali ganda lebih murah. Naya tuan-tuan.

Tapi Aston memang berani bereksperimen dan tanpa melengahkan masa mereka telah menghasilkan sebuah model one-off yang dinamakan Aston Martin Cygnet V8! Ya, kereta mikro ini telah dipasang dengan enjin 4.7 liter V8 yang sama seperti digunakan pada Aston Martin Vantage S 2016.
Hasilnya ialah kelajuan maksima 274 kmj. 100kmj lebih laju berbanding Cygnet standard. Pecutan 0-100 kmj pula hanya mengambil masa 4.2 saat. Setengah saat lebih pantas berbanding Vantage S. Gila tuan-tuan.
Bukan itu sahaja kehebatannya. Cygnet V8 ini sebenarnya merupakan model RWD. Ya, dengan kata lain setakat nak main drift tu kacang je dengan model mikro ni.

Ia memang sebuah kereta Jepun yang direbadge kepada kereta Eropah. Tapi lebih istimewa lagi ialah ia mempunyai jiwa sebuah kereta Amerika dengan enjin V8. Fuhh.
