
LEXUS RX 2025 TERIMA KEMASKINI BAHARU – BLACK LINE SPECIAL EDITION, HARGA SEKITAR RM220K
Lexus RX, model terlaris jenama mewah dari Jepun, bakal menerima beberapa kemaskini menarik untuk tahun 2025.
Salah satu kemaskini utama ialah pengenalan edisi khas Black Line, yang berasaskan model RX 500h F Sport Performance.
Edisi khas Black Line ini tampil dengan warna luar Incognito yang dipadankan bersama aksen hitam. Ciri ini turut dilengkapi rim 21-inci berwarna hitam – kontras dengan kaliper brek berwarna oren.
Selain itu, rekaan dua tona model ini turut diterapkan dalam kabin dengan dalaman berwarna hitam dan jahitan kontras kelabu.

Produksi model ini akan dihadkan kepada 500 unit di seluruh Amerika Utara, yang bermakna pasaran Kanada juga bakal menerima model ini.
Selain edisi khas baharu ini, Lexus turut memperkenalkan trim F Sport Design. Walaupun kelihatan tidak begitu perlu dengan adanya pelbagai trim sedia ada seperti Standard, Premium, Premium+, Luxury, F Sport Handling, dan F Sport Performance, trim baharu ini akan menambah variasi kepada pilihan sedia ada.
Trim F Sport Design hanya ditawarkan pada model RX 350 dan RX 350h. Trim ini dibina berasaskan gred Premium dengan tambahan elemen rekaan F Sport seperti fascia hadapan, gril, serta valence belakang.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kemasan kayu hitam terbuka dan rim 21-inci dengan kemasan hitam.

Jika tujuh trim masih belum mencukupi, Lexus RX 2025 menawarkan pelbagai pilihan enjin, menggunakan enjin turbocharged 2.4-liter empat silinder yang menghasilkan 275hp dan 429Nm tork.
Selain itu, model RX 350h hadir dengan trenkuasa hibrid yang menghasilkan 246hp dan 316Nm tork. Manakala RX 500h F Sport Performance menawarkan kuasa 366hp dan 550Nm tork.
Bagi mereka yang inginkan lebih banyak pilihan, Lexus turut menawarkan RX 450h+ plug-in hybrid. Model ini dilengkapi dengan enjin empat silinder 2.5 liter, tiga motor elektrik, dan bateri lithium-ion 18.1kWh.
Ia memberikan model ini output gabungan sebanyak 304hp dan jarak gerak elektrik sepenuhnya sejauh 56km.
Lexus RX 2025 dijangka tiba di bilik pameran di Amerika Syarikat pada penghujung tahun ini, dengan jangkaan harga melebihi AS$49,950 (RM218,781).
GALERI:









- BACA: HYUNDAI LABUR RM127 JUTA UNTUK PEMBUATAN EV DI THAILAND
- BACA: MOTOGP: THAILAND JADI TUAN RUMAH PEMBUKA TIRAI MUSIM 2025 DAN 2026
- BACA: DONGFENG BOX DIPERKENALKAN, BAKAL LANCAR SUKU KEEMPAT 2024 – JANA 95PS, JARAK GERAK 430KM
- BACA: LOTUS EMEYA TIBA DI PASARAN MALAYSIA – TIGA VARIAN, JANA 905HP, HARGA BERMULA RM555K

