LOTUS EMEYA TIBA DI PASARAN MALAYSIA – TIGA VARIAN, JANA 905HP, HARGA BERMULA RM555K
Lotus Cars Malaysia baru-baru ini telah melancarkan Emeya, Hyper-GT elektrik pertama dari Lotus, menawarkan tiga varian untuk pasaran tempatan; Emeya, Emeya S dan Emeya R.
Emeya direka dengan ciri-ciri aerodinamik aktif dan inovatif serta digabungkan dengan pusat graviti yang rendah, memberikan Emeya sebagai ‘hyperstance’ untuk kestabilan keseluruhan, sekaligus menetapkan piawaian baharu dalam segmen GT.
Emeya dilengkapi grill depan aktif – seperti yang terdapat juga pada model Hyper-SUV Eletre, spoiler belakang aktif berbentuk dua lapisan bagi memberikan kelebihan downforce berjumlah 215kg untuk kestabilan kelajuan tinggi.
Secara keseluruhan model ini mempunyai lapan ruang udara untuk melancarkan pergerakan udara, meningkatkan kecekapan aerodinamik dan membantu prestasi serta jarak pemanduannya.
Pada masa yang sama ia membantu menyejukkan sistem brek, motor dan bateri.
Ruang dalaman Emeya masih bercirikan tema minimalist tetapi ia direkabentuk sebagai kokpit pintar dan mempunyai sistem infotainment intuitif.
Emeya menggunakan sistem audio rekaan KEF iaitu pembesar suara Uni-Q™ and subwoofer Uni-Core™ bersertakan sistem bunyi keliling 3D Dolby Atmos untuk kepuasan bunyi berkualiti tinggi.
Emeya turut menggunakan sistem pembatalan bunyi bersepadu atau Road Noise Cancellation (RNC) supaya pemandu tidak terganggu bunyi luar.
Sensor getaran pada bahagian badan kenderaan juga mengesan pergerakkan pada tayar dan suspensi dan dengan bantuan algoritma khas berupaya membatalkan bunyi-bunyi yang tidak di ingini.
Selain itu, maklumat penting boleh diakses melalui skrin head-up realiti terimbuh (AR) sebesar berukuran 55-inci.
Beralih pada kuasa, varian asas Emeya dan Emeya S dikuasakan dua buah motor elektrik yang berupaya menghamburkan kuasa 603hp dan 710Nm.
Sementara, Emeya R sebagai varian tertinggi mempunyai 905hp dan 985Nm.
Untuk varian asas dan Emeya S, dengan transmisi kelajuan tunggal, kedua-dua varian ini mempunyai daya pecutan 0-100 km/j dalam 4.2 saat.
Manakala varian Emeya R yang mempunyai transmisi dua kelajuan, mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.8 saat.
Apabila disambungkan kepada pengecas DC pantas 350kW, Emeya boleh memperluas jaraknya sebanyak 150km dengan hanya pengecasan lima minit dan mampu meningkatkan jarak dari 10 peratus hingga 80 peratus dalam masa 18 minit.
Jarak pemanduan WLTP maksimum bagi setiap varian:
- Varian asas: 610 km
- S: 540 km
- R: 435 km.
Untuk rekod, jentera ini menyediakan lima mod pemanduan iaitu Range, Tour, Sport, Individual dan Track.
Bagi keselamatan, ia dimuatkan dengan ADAS termasuk amaran keluar lorong, amaran pelanggaran hadapan, dan sistem pemantauan titik buta.
Beralih pada harga, perincian harga bagi setiap varian adalah seperti berikut:
- Varian asas: RM555,000
- S: RM643,000
- R: RM777,000.
Lotus Cars Malaysia menawarkan pelindungan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000km, manakala waranti untuk bateri EV ini pula diberikan selama lapan tahun atau 200,000km.
GALERI:
- BACA: MCLAREN ARTURA SPIDER DILANCARKAN: JANA 700HP, HARGA BERMULA RM3.4 JUTA
- BACA: FERRARI F50 GT – JENTERA PERLUMBAAN UNGGUL YANG TIDAK PERNAH BERPELUANG BERAKSI
- BACA: FOTO INTIP: LEAPMOTOR C10 DIUJI DI MALAYSIA, BAKAL DILANCARKAN TAK LAMA LAGI
- BACA: DUA PENJENAYAH LARIKAN DIRI LEBIH 2OKM DITAHAN POLIS