DONGFENG BOX DIPERKENALKAN, BAKAL LANCAR SUKU KEEMPAT 2024 – JANA 95PS, JARAK GERAK 430KM
Dongfeng BOX hari ini secara rasmi diperkenalkan di Malaysia, menawarkan pilihan ideal untuk golongan muda bandar dan keluarga yang menginginkan kenderaan serbaguna bagi keperluan harian.
Model ini dijadualkan untuk dilancarkan secara rasmi pada suku keempat tahun 2024, memberikan pilihan mobiliti terkini kepada pengguna.
Dongfeng Box merupakan model pertama yang dibina menggunakan platform canggih Dongfeng Quantum Architecture S3.
Dari segi dimensi, ia mempunyai ukuran 4,020/1,810/1,570mm dan jarak roda yang panjang iaitu 2,663mm.
Dari segi penampilan, BOX menggabungkan elemen reka bentuk yang bergaya dan moden, dipadankan bersama lampu LED melintang bahagian depan, serta disempurnakan dengan bumbung terapung berkontras.
Selain itu, BOX turut menampilkan pintu tanpa bingkai dan pemegang pintu sensor tersembunyi.
Di ruang kabin, ia dilengkapi dengan lapisan kulit berlian berkualiti tinggi, memberikan suasana yang mewah dan selesa serta meningkatkan daya tarikan visual.
Bukan itu sahaja, Dongfeng Box menawarkan sistem pencahayaan ambien yang boleh disesuaikan dengan 32 pilihan warna, serta cermin pandang belakang tanpa bingkai.
Kelengkapan lain termasuklah mod baring rata dengan satu butang untuk pemandu utama, skrin sentuh pusat terapung bersaiz 12.8-inci, pengecas tanpa wayar untuk telefon bimbit, fungsi bantuan pemanduan pintar L2, dan banyak lagi.
Beralih pada kuasa, BOX dilengkapi dengan unit pemacu elektrik Mach E sepuluh-dalam-satu, menghamburkan kuasa 95PS dan tork 160Nm, serta mempunyai kelajuan tertinggi 140 km/j.
BOX didatangkan dengan bateri Li-on dengan dua pilihan iaitu kapasiti bateri 31.45kWj yang menawarkan jarak gerak sehingga 330km atau 42.3kWj, memberikan jarak gerak sehingga 430km.
Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan cepat dan lambat, dengan keupayaan mengecas dari 30 peratus hingga 80 peratus dalam masa 30 minit menggunakan pengecas DC.
Selain itu, BOX dilengkapi dengan fungsi pengecasan luaran, membolehkan pengguna mengecas peralatan elektrik bila-bila masa.
GALERI:
- BACA: MCLAREN ARTURA SPIDER DILANCARKAN: JANA 700HP, HARGA BERMULA RM3.4 JUTA
- BACA: FERRARI F50 GT – JENTERA PERLUMBAAN UNGGUL YANG TIDAK PERNAH BERPELUANG BERAKSI
- BACA: FOTO INTIP: LEAPMOTOR C10 DIUJI DI MALAYSIA, BAKAL DILANCARKAN TAK LAMA LAGI
- BACA: DUA PENJENAYAH LARIKAN DIRI LEBIH 2OKM DITAHAN POLIS