Buletin

HYUNDAI LABUR RM127 JUTA UNTUK PEMBUATAN EV DI THAILAND

Gergasi automotif Korea Selatan, Hyundai Motor, baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk melabur sebanyak 1 bilion baht (RM127 juta) bagi pembuatan kenderaan elektrik (EV) di bawah jenama Ioniq di Thailand.

Pelaburan ini telah diluluskan oleh Lembaga Pelaburan Thailand (BOI), dan pengeluaran dijangka bermula pada awal tahun 2026.

Projek ini akan melibatkan kerjasama dengan Thonburi Automotive Assembly, rakan kongsi lama Hyundai yang akan mengendalikan pemasangan.

Hyundai Mobility Manufacturing (Thailand) Co Ltd menyatakan bahawa pelaburan ini akan digunakan untuk menubuhkan fasiliti pengeluaran EV dan bateri di Thailand, selaras dengan dasar EV3.5 yang diperkenalkan oleh kerajaan Thailand untuk menyokong industri EV.

Ketua Pegawai Eksekutif Hyundai Mobility Manufacturing (Thailand), Jae Gyou Chung, menjelaskan bahawa Thailand dikenal pasti sebagai lokasi strategik untuk Hyundai di ASEAN.

Dengan sokongan kerajaan Thailand melalui langkah-langkah EV3.5, Hyundai bersedia untuk melabur serta menyasarkan pengeluaran pada awal tahun 2026.

“Kami telah menerima kelulusan rasmi daripada BOI untuk melabur dalam pengeluaran kenderaan elektrik Ioniq dan bateri. Projek ini adalah hasil kerjasama antara Hyundai Mobility Manufacturing (Thailand) dan rakan kongsi utama, sebuah kilang pemasangan automotif domestik terkemuka,” kata Jae.

Kilang pemasangan domestik disebut oleh Jae Gyou Chung kemungkinan besar adalah Thonburi Automotive Assembly Co Ltd, yang kini memasang kenderaan Mercedes-Benz di kilangnya di Samrong, wilayah Samut Prakan.

Untuk rekod, Hyundai sebelum ini pernah memasang model Sonata di kilang ini kira-kira 16 tahun yang lalu.

Pelaburan besar ini menandakan komitmen Hyundai terhadap pembangunan industri EV di Thailand, yang dijangka memberi impak positif kepada ekonomi tempatan serta memperkukuh kedudukan negara itu sebagai hab automotif di rantau ini.

Google ads
Back to top button