
LUCA DE MEO LETAK JAWATAN DI RENAULT. JADI CEO GUCCI, BALENCIAGA & YSL
Kumpulan Renault kini dalam usaha mencari Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu selepas Luca de Meo secara mengejut mengumumkan peletakan jawatan beliau, setelah lima tahun menerajui jenama automotif Perancis itu dengan jayanya.
De Meo yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam kebangkitan jenama SEAT di bawah Kumpulan Volkswagen selama lima tahun, menyertai Renault pada Julai 2020 ketika syarikat itu sedang bergelut, termasuk mencatat kerugian bersih rekod sebanyak €7.3 bilion pada separuh pertama tahun tersebut.
Namun, beliau berjaya memulihkan Renault dengan memberi tumpuan kepada produk berkeuntungan tinggi dan mempercepatkan tempoh pembangunan. Pelan transformasi yang digelar “Renaulution” menjadi asas kepada barisan model baharu yang lebih segar dan berpaksikan kenderaan SUV, sambil menamatkan model-model yang kurang laris.

Model ikonik Renault 5 telah dilahirkan semula sebagai kereta elektrik (EV), diikuti oleh model kembar gaya crossover – Renault 4. Malah, model kompak Twingo juga dijadualkan kembali tahun depan sebagai EV peringkat permulaan untuk jenama itu.
Usaha de Meo untuk mengukuhkan kedudukan Renault turut merangkumi penjenamaan semula Dacia di Eropah dengan pelancaran SUV kompak Bigster. Sebuah model EV kos rendah yang dibina di Eropah dijangka dilancarkan pada tahun 2026, menggantikan model Spring buatan China dan berkemungkinan menjadi versi mampu milik Twingo.
Di samping itu, pelaburan besar dalam jenama Alpine menjamin masa depannya sebagai jenama eksklusif elektrik sepenuhnya. Hatchback sporty A290 kini disusuli oleh crossover A390, manakala pengganti elektrik untuk A110 dijadualkan tiba menjelang akhir dekad ini. Alpine turut merancang untuk memperkenalkan varian 2+2 model A110 yang akan dinamakan A310, serta SUV bersaiz besar untuk pasaran Amerika Utara.
De Meo meninggalkan dunia automotif untuk menjawat jawatan baharu di luar industri tersebut. Menurut laporan Le Figaro, beliau bakal dilantik sebagai CEO syarikat Kering – syarikat induk multinasional Perancis yang terkenal dalam sektor barangan mewah, memiliki jenama-jenama seperti Gucci, Balenciaga dan Yves Saint Laurent.






