Artikel Pilihan

RENAULT BUANG 1000 PEKERJA HQ, TAPI…..

Renault merancang melakukan penstrukturan semula tenaga kerja secara besar-besaran di Perancis dengan mengambil 2,000 pekerja baharu di kilang pengeluarannya menjelang 2028. Namun dalam masa yang sama, Renault turut merancang mengurangkan sehingga 1,000 jawatan kategori pekerja pejabat menerusi skim pemberhentian secara sukarela.

Langkah yang diumumkan pada 16 November 2026 itu merupakan sebahagian daripada program France Industrie FutuREady yang bertujuan menyusun semula operasi industri Renault bagi menghadapi perubahan landskap automotif global. Keputusan ini menunjukkkan bagaimana pengeluar automotif tradisional sedang mengubah strategi, dengan lebih ramai pekerja diperlukan di bahagian pengeluaran berbanding fungsi pentadbiran dan sokongan.

Daripada keseluruhan 2,000 jawatan baharu yang dirancang, sebanyak 1,650 akan diperuntukkan kepada pekerja mahir dan operator yang terlibat secara langsung dalam operasi pengeluaran kenderaan. Sebanyak 250 lagi jawatan melibatkan fungsi sokongan pengeluaran seperti penyelenggaraan dan operasi teknikal, manakala baki 100 jawatan disediakan untuk graduan muda serta program pembangunan bakat.

Pengambilan pekerja ini dijangka berlangsung secara berperingkat sepanjang 2027 dan 2028 serta pada masa sama sehingga 1,000 jawatan pejabat akan dikurangkan melalui skim pemberhentian secara sukarela yang masih memerlukan rundingan dengan kesatuan pekerja.

Keputusan Renault menambah tenaga kerja di bahagian pengeluaran berkait rapat dengan peningkatan aktiviti kilang, khususnya susulan permintaan terhadap model kenderaan elektrik seperti Renault 5 E-Tech dan Scenic E-Tech. Selain itu, perniagaan van komersial Renault turut menunjukkan prestasi yang baik, sekali gus membantu mengekalkan tahap pengeluaran di beberapa fasiliti syarikat itu.

Peningkatan permintaan ini menyebabkan Renault memerlukan lebih ramai pekerja tetap bagi menyokong operasi pemasangan. Sebelum ini sebahagian keperluan pengeluaran turut bergantung kepada pekerja sementara. Dengan pengambilan baharu, syarikat mahu memperkukuh tenaga kerja dan memastikan kapasiti pengeluaran dapat dikekalkan dalam jangka panjang.

Tetapi pengambilan 2,000 pekerja baharu bukan bermaksud Renault sedang mengembangkan semua bahagian organisasinya. Sebaliknya, Renault turut mahu mengurangkan kos operasi dengan menyusun semula beberapa fungsi pejabat yang dianggap tidak lagi memerlukan jumlah tenaga kerja seperti sebelumnya.

Pengurangan sehingga 1,000 jawatan ini melibatkan beberapa fungsi sokongan dan pentadbiran, termasuk kejuruteraan proses, kawalan kualiti serta pengurusan rantaian bekalan. Renault bagaimanapun menegaskan bahawa pengurangan tersebut akan dilaksanakan melalui skim sukarela dan bukan pemberhentian pekerja secara paksa.

Salah satu faktor adalah disebabkan persaingan daripada pengeluar China di sebalik perubahan strategi ini. Pengeluar dari China semakin agresif menawarkan kenderaan elektrik dengan teknologi moden, kos pembangunan yang kompetitif serta harga jualan yang mampu memberikan tekanan kepada jenama Eropah.

Renault menyedari bahawa kelebihan yang dimilikinya dalam beberapa segmen pasaran sebelum ini tidak semestinya dapat dikekalkan. Perkara ini semakin ketara dalam segmen kereta kompak dan kenderaan komersial ringan, dua kategori penting yang menjadi sebahagian daripada perniagaan teras syarikat tersebut.

Dalam segmen kereta kecil, jenama seperti BYD dan Geely semakin agresif menawarkan model yang boleh bersaing dengan produk Renault serta jenama bajetnya, Dacia. Pada masa sama, teknologi kenderaan komersial dari China juga semakin berkembang dan mula memberikan tekanan kepada pengeluar Eropah.

Ketua Pengeluaran Renault, Thierry Charvet, mengakui bahawa syarikatnya sebelum ini agak terlindung daripada persaingan pengeluar China dalam beberapa segmen. Namun, keadaan itu kini berubah dan Renault perlu bertindak lebih pantas untuk memastikan produknya kekal kompetitif.

Selain menyusun semula tenaga kerja, Renault turut merancang menyediakan hampir 500,000 jam latihan kepada pekerjanya. Program ini akan memberi tumpuan kepada bidang seperti robotik, kecerdasan buatan (AI), elektrifikasi dan teknologi pengeluaran moden.

Langkah tersebut penting kerana kilang automotif masa kini semakin bergantung kepada sistem automasi dan proses pengeluaran pintar. Pekerja bukan sahaja perlu mempunyai kemahiran pemasangan konvensional, tetapi juga perlu memahami teknologi baharu yang digunakan dalam penghasilan kenderaan elektrik.

Renault juga mahu melindungi beberapa bidang strategik seperti kejuruteraan bateri, elektronik, perisian, sistem rangkaian kuasa elektrik dan penyelenggaraan industri. Ini menunjukkan bahawa pengurangan tenaga kerja bukan dilakukan secara menyeluruh, sebaliknya syarikat mahu mengalihkan sumber manusia kepada bidang yang dianggap lebih penting untuk masa depan perniagaan.

Bagaimanapun Kesatuan pekerja CFDT mempersoalkan pelaksanaan penstrukturan semula ini kerana pengurangan jawatan dijangka berlaku lebih awal berbanding pengambilan pekerja baharu. Keadaan ini berpotensi menyebabkan kekurangan tenaga kerja atau kehilangan kemahiran tertentu sekiranya proses penggantian tidak dilakukan dengan teratur.

Kesatuan tersebut turut membangkitkan isu perbezaan antara kilang yang menerima pekerja baharu dengan fasiliti lain yang mungkin kehilangan pekerja tanpa mendapat pengambilan tambahan. Ini bermakna walaupun Renault merancang menambah 2,000 jawatan secara keseluruhan, manfaatnya tidak semestinya dirasai secara sama rata oleh semua lokasi pengeluaran.

Penstrukturan semula terbaru ini bukanlah langkah pertama Renault dalam mengurangkan kos dan menyusun semula organisasi. Pada Jun 2026, syarikat itu turut mengumumkan rancangan mengurangkan sekitar 800 jawatan dalam bahagian kejuruteraan di Perancis menjelang penghujung 2027.

Langkah tersebut bertujuan mengurangkan kos pembangunan serta memendekkan tempoh yang diperlukan untuk menghasilkan model baharu. Renault mahu meningkatkan keupayaan pembangunannya supaya dapat bersaing dengan pengeluar China yang semakin pantas memperkenalkan produk baharu ke pasaran.

Malah Renault turut membuka pusat kejuruteraan di Shanghai dan Hangzhou China, bagi mempercepatkan pembangunan kenderaan. Pendekatan ini memperlihatkan perubahan strategi yang agak ketara apabila pengeluar Eropah tersebut turut memanfaatkan ekosistem kejuruteraan China untuk meningkatkan kecekapan pembangunan produk.

Google ads
Back to top button