Buletin

MAZDA3 HATCHBACK DAN SEDAN 2019, TAMPIL BERGAYA DAN ARTISTIK

Ada apa dengan Mazda pada hari ini? Sebuah jenama yang tampil menongkah arus melalui falsafah pembuatan kereta. Bagaimana syarikat Jepun yang hari ini jauh lebih kecil daripada pesaing lain mampu membuka mata ramai pengguna?

Jawapannya ialah reka bentuk, teknologi SKYACTIV dan tidak terikut-ikut persaingan arus perdana.

Lebih menarik apabila Mazda mampu berdiri sendiri dalam masa banyak pengeluar lain berkongsi pelantar dan nadi kuasa.

Seperti pengeluar lain, Mazda mempunyai produk utama yang tampil merentasi pasaran global. Sudah melalui generasi ketiga, model segmen C, Mazda3 terus berjaya memahat hati pengguna.

Kini Mazda telah tampil dengan generasi keempat Mazda3 dan sekali lagi magis terus tercipta dengan reka bentuk menawan dan artistik.

Mazda sebenarnya telah memberi bayangan yang berjaya menawan hati ramai apabila tampil dengan model konsep Kai pada Pameran Kenderaan Tokyo lalu dan inilah hasilnya.

Walaupun berbeza seperti mana-mana model konsep, semangat Kai dibawa dengan jayanya dan dari situ anda boleh mengetahui bahawa Mazda telah naik ke satu tahap lagi.

Mazda3 hatchback dan sedan 2019 akan ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu pada awal tahun depan dan kemudian disusuli beberapa pasaran utama dunia.

Berikut ialah ciri-ciri pada Mazda3 hatchback dan sedan 2019:

Reka Bentuk Luaran

  • Gayaan wajah Mazda terkini iaitu lampu halus atau “sepet” dengan gril besar
  • Model hatchback tampil dengan gayaan menggoda dengan pendekatan baharu dalam bentuk tiang C
  • Pasukan pereka mahukan sebuah model hatchback yang tampil jelas dan solid pada masa sama masih anggun
  • Model sedan pula mengambil semula falsafah kereta penumpang sebelum ini melalui tiga pembahagian iaitu bonet enjin, penumpang dan but dalam masa trend sekarang ialah sedan ala fastback
  • Hasilnya ialah sebuah sedan yang tampak matang, kemas dan elegan
  • Lampu belakang dua silinder adalah pendekatan segar untuk sebuah hatchback massa
  • Reka bentuk lampu minimalis pula adalah evolusi baharu falsafah gayaan Kodo
  • Dua pilihan roda mengikut varian iaitu tayar bersaiz 205/60R16 dan 215/45R18

Reka Bentuk Dalaman

  • Hubungan di antara pemandu dan kereta ditingkatkan lagi dengan beberapa penambahbaikan seperti larasan stereng teleskopik yang lebih luas untuk penyesuaian kedudukan pemandu. Larasan ditambah 10mm lebih menjadikan julat perubahan sehingga 70 mm.
  • Lokasi gear dianjak ke hadapan dan lebih tinggi supaya pemandu lebih mudah untuk mengalih tangan dari stereng semasa penukaran gear
  • Bahagian dalam direka mengikut konsep horizontal simetri dan setiap elemen diposisikan supaya menghadap pemandu
  • Konsep less is more adalah evolusi kepada gayaan Kodo dengan reka bentuk ringkas dan minimalis
  • Walaupun ringkas tetapi masih canggih dengan paparan LCD berukuran 8.8 inci yang mengandungi pelbagai fungsi dan maklumat
  • Bahagian dalaman lebih senyap melalui konsep binaan dua dinding iaitu panel badan kereta dan karpet. Kedua-duanya  memainkan peranan penting terutama sekali karpet apabila ia bukan sekadar hiasan malah menjadi penebat bunyi yang direka untuk saling melengkapi.

Nadi Kuasa

  • Enjin Skyactiv-G versi baharu bersesaran 1.5, 2.0 dan 2.5. Komponen dalam enjin ditambah baik agar lebih berkuasa, jimat minyak dan mesra alam sekitar
  • Satu pilihan enjin diesel iaitu Skyactiv-D 1.8 dengan pelbagai inovasi untuk lebih penjimatan minyak, senyap, mesra alam dengan perjalanan lebih lancar
  • Enjin Skyactiv-X pertama kali digunakan pada model Mazda. Enjin ini dibantu oleh sistem M Hybrid baharu. Lebih berkuasa pada permulaan pecutan, tork yang tinggi dan pada masa sama jimat bahan api dan mesra alam sekitar
  • Dua pilihan transmisi iaitu enam kelajuan manual dan enam kelajuan automatik

Keselamatan

  • Keselamatan aktif i-Activsense ditambah baik dengan beberapa perubahan seperti sistem Pengawasan Pemandu yang menggunakan kamera infra merah dan LED infra merah bagi mengawasi keadaan sewaktu memandu
  • Berupaya mengesan tahap bukaan mata pemandu atau berapa kali mata berkelip dan juga keadaan mulut dan muka dalam mengenal pasti tahap mengantuk dan keletihan
  • Turut berupaya mengesan pengerakan mata jika pemandu tidak fokus
  • Jika sistem mengesan keadaan merbahaya, amaran akan dibunyikan supaya pemandu kembali fokus dan sistem Bantuan Brek Pintar akan diaktifkan supaya amaran tersebut dikeluarkan dengan lebih pantas
  • Sistem Front Cross Traffic Alert (FCTA) yang menggunakan radar depan bagi mengawasi titik buta atau kenderaan luar yang semakin hampir atau menghimpit
  • Sistem Cruising & Traffic Support (CTS) yang berupaya dalam mengurangkan keletihan pemandu dalam kesesakan trafik. Sistem akan mengurangkan bebanan pemandu pada pedal minyak dan brek serta operasi stereng
  • Keselamatan pasif ditambah baik dengan nisbah penggunaan besi ultra-high-tensile 980MPa (atau lebih) lebih tinggi sehingga 30 peratus berbanding 3 peratus sebelum ini
  • Beg udara kaki (lutut) kini standard untuk kesemua varian di peringkat global yang dapat mengurangkan kecederaan pada kaki, abdomen dan dada

BACA: MAZDA FAMILIA, COME OUT & PLAY! – KETURUNAN MAZDA3 HARI INI

Mazda3 Sedan

Mazda3 Hatchback

 

Google ads
Back to top button