
Mazda CX-60 3.3G AWD DILANCAR – 3.3L TURBO 6 SILINDER MHEV. RM 252K
Bermaz Motor secara rasmi memperkenalkan Mazda CX-60 3.3G AWD High Plus untuk pasaran Malaysia, sekali gus menambah pilihan dalam barisan SUV premium jenama itu di negara ini. Model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini ditawarkan pada harga RM252,780 atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia.
Dengan pelancaran varian baharu ini, Mazda CX-60 kini ditawarkan dalam dua pilihan untuk pengguna tempatan, iaitu 2.5G 2WD High yang menggunakan enjin petrol 2.5 liter naturally aspirated serta 3.3G AWD High Plus yang hadir dengan enjin enam silinder sebaris bersama teknologi mild hybrid.
Tarikan utama model ini sudah tentu terletak pada rangkaian kuasanya. Ia dikuasakan oleh enjin 3.3 liter e-Skyactiv G turbocharged inline-six yang dipadankan dengan sistem 48V M Hybrid Boost (mild hybrid). Gabungan tersebut menghasilkan 284 PS dan 450 Nm tork, dengan kuasa disalurkan ke keempat-empat roda menerusi sistem i-Activ AWD.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan Skyactiv-Drive yang menggunakan sistem multi-plate clutch tanpa torque converter konvensional. Pendekatan ini membolehkan penukaran gear yang lebih pantas dan responsif di samping meningkatkan kecekapan pemanduan.
Dari segi prestasi, Mazda CX-60 3.3G AWD High Plus mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 6.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 219 km/j. Pada masa sama, penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 7.2 liter bagi setiap 100 kilometer mengikut kitaran WLTP, hasil gabungan enjin turbo dan sistem mild hybrid.
Model ini dibangunkan berasaskan Mazda Large Architecture yang menggunakan susun atur enjin membujur (longitudinal), sekali gus memberikan keseimbangan pemanduan yang lebih baik dan menjadi asas kepada platform pacuan roda belakang Mazda walaupun varian ini menggunakan sistem pacuan semua roda.

Dari segi penampilan, CX-60 3.3G AWD High Plus dilengkapi dengan rim aloi 20 inci, lampu utama Adaptive LED, bumbung suria panoramik serta pintu belakang berkuasa (power tailgate), menyerlahkan lagi imej premium SUV ini.
Ruang kabin pula menampilkan kemasan mewah dengan tempat duduk kulit Nappa, tempat duduk hadapan larasan elektrik bersama fungsi memori, paparan instrumen digital 12.3 inci, sistem infotainmen 12.3 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan Head-Up Display (HUD) serta sistem audio premium Bose dengan 12 pembesar suara.
Aspek keselamatan turut diberi perhatian menerusi pelbagai sistem bantuan pemandu (ADAS), termasuk Smart Brake Support, Mazda Radar Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Cruising & Traffic Support, Driver Monitoring dan Driver Attention Alert, selain dilengkapi tujuh beg udara.

Bagi memberikan ketenangan kepada pemilik, Mazda CX-60 3.3G AWD High Plus hadir bersama waranti pengeluar selama lima tahun atau 100,000 km, selain penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau 100,000 km, mengikut mana yang terdahulu. Dengan gabungan enjin enam silinder sebaris turbo, sistem mild hybrid dan pakej kelengkapan premium yang lengkap, model ini menawarkan alternatif menarik kepada pembeli yang mencari SUV mewah berprestasi tinggi di Malaysia









