Artikel PilihanBuletin

MEMPERKENALKAN HONDA MIIMO, PEMOTONG RUMPUT ROBOTIK YANG ANDA PERLUKAN DI RUMAH

Miimo bukanlah sebuah kereta ataupun motosikal baharu keluaran Honda. Ia merupakan mesin pemotong rumput robotik pertama keluaran Honda. Mungkin ia juga merupakan mesin pemotong rumput yang pertama di dunia dengan konsep seumpamanya.

Miimo didatangkan dalam tiga versi dan mempunyai tiga mod pemotongan yang berbeza-beza. Mesin ini akan beroperasi dalam kawasan yang sudah ditandakan dengan wayar sempadannya. Jadi tidak timbul isu ia merayau-rayau di luar kawasan ataupun tersesat.

Ia direka dengan mekanisme cas sendiri yang membolehkannya kembali ke stesen pengecas sebaik sahaja baterinya hampir ke penghujung. Model HRM 310 mempunyai bateri 22.2 volt/1.8Ah dan mampu memotong rumput dalam kawasan setengah ekar hanya dalam masa lebih kurang setengah jam tanpa henti.

BACA: ROBOT PENGHANTAR PIZZA PERTAMA DI DUNIA

BACA: HONDA RIDING ASSIST-TEKNOLOGI AJAIB HONDA

Model HRM 520 yang lebih mahal pula dilengkapi dengan bateri 3.6Ah yang lebih besar dan mampu beroperasi dalam kawasan yang lima puluh peratus lebih besar. Walaubagaimanapun, ia juga memerlukan masa yang lebih untuk dicas semula.

Model paling canggih dinamakan HRM3000 dan boleh dikawal dan dioperasikan dengan menggunakan telefon pintar. Anda cuma perlu memuat turun aplikasinya dan boleh didapati dalam versi Android dan juga iOS.

Kedua-dua model Miimo ini boleh bergerak di kawasan dengan sudut curam sehingga 25 darjah. Ia akan bergerak mengikut bentuk mukabumi tanpa sebarang masalah. Keduanya juga mempunyai berat yang sama iaitu sekitar 12 kilogram.

Keduanya juga mempunyai sensor yang boleh mengawasi 360 darjah kawasan dan jika ia mengesan sebarang objek atau halangan, ia akan segera berundur.Ini menjadikannya cukup selamat digunakan sekiranya terdapat kanak-kanak ataupun binatang peliharaan di kawasan berhampiran.

Terdapat tiga mod pemotongan pada mesin ini yang dinamakan Random, Directional dan Mixed. Mod Random ialah untuk operasi di kawasan yang luas di mana bila ia menghampiri wayar sempadan ia akan bergerak dengan sudut yang besar. Directional pula untuk operasi di kawasan yang lebih sempit manakala Mixed pula untuk gabungan dua jenis kawasan dan mod operasi akan bertukar secara automatik. Dah macam sistem VTEC pulak kan?

Bagi memastikan Miimo tidak dicuri atau dilarikan sewaktu sedang bekerja, ia mempunyai penggera keselamatan yang akan berbunyi jika ia diangkat dari permukaan bumi. PIN kod keselamatan pula mesti dimasukkan untuk meneruskan operasi. Jangan ingat senang-senang je boleh curi tau.

Wayar sempadan operasi dan stesen pengecas Miimo akan dipasang oleh pihak pengedar berdaftar sebaik anda membelinya. Sama macam Astro, ia juga mesti dipasang oleh pihak bertauliah.

Selain daripada itu Miimo juga kalis air dan mampu beroperasi dalam apa jua keadaan cuaca kecuali banjir. Ini bukan mesin amfibia tau. Potongan rumput juga dibuat dengan kemas dan dihancurkan sehingga menjadi cebisan kecil. Anda tidak perlu lagi mengumpulkan rumput yang dipotongkan kerana ia menjadi cebisan kecil dan akan bertindak sebagai baja semulajadi.

Memandangkan ia sebuah Honda tidak salah rasanya kalau kita tampal pelekat Type R pada kiri kanan badannya bukan? Nak letak spoiler rasanya mungkin agak melampau.

 

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button