Buletin

MENANG MOTOR SEBAB TAK PERNAH PONTENG SEKOLAH. BAGUS NI!

Bayangkan anda boleh menang sebuah motosikal, pakej percutian ke Langkawi dan televisyen hanya dengan tidak pernah ponteng sekolah. Memang terbaik kan?

Inilah antara insentif yang diberikan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta para guru  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Laut kepada para pelajarnya yang mencatat kehadiran 100 peratus ke sekolah.

Dikenali sebagai Program Ponteng Sifar (Proponsif), usaha yang pertama kali diperkenalkan itu nyata menarik perhatian netizen apabila ia dikongsi oleh dua orang pelajar (SMK) Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor itu.

Dalam hantaran di Twitter, Nura dan Maa memuji usaha sekolah mereka dalam memastikan pelajar tidak ponteng sekolah.

Pemenang hadiah utama dipilih menerusi cabutan bertuah. Sementara semua pelajar yang tidak pernah ponteng akan menerima sumbangan peralatan persekolahan.

“Ini (motosikal, pakej percutian dan TV) kiranya hadiah utama yang pengetua janji nak bagi untuk mereka yang bertuah melalui cabutan nama. Ikutlah rezeki masing-masing. Congrats (tahniah) korang! Giliran saya akan datang,” tulis Maa di Twitternya.

Perkongsian itu tular di media sosial dan telah retweet sebanyak 18,500 kali. Selain menerima 19,000 tanda Likes. Di ruang komen, ramai netizen memuji usaha tersebut.

“Usaha yang bagus daripada pihak sekolah dan PIBG. Terbaiklah semua dapat hadiah yang mahal itu. Dulu dapat sijil sahaja tau,” tulis Jejari Cantik Menaip di Twitter.

Komen Muhammad Hidayat pula, “Inilah yang jadi kalau pengetua, cikgu dan ibu bapa main peranan dan gunakan sumber yang mereka kumpul hasil sumbangan ibu bapa, yuran PIBG dan lain-lain dengan penuh amanah dan integriti. Bukan songlap masuk poket sendiri atau buat program yang apa-apa. Tabik sekolah ini.”

Sumber: Sinar Harian, FB SMK Batu Laut

Google ads
Back to top button