,
Motosikal

TAK MAMPU BAYAR SEWA, MUZIUM TERPAKSA TUTUP DAN JUAL KOLEKSI MOTOSIKAL RARE

Bermula pada 7 Oktober lalu, Muzium Motosikal London terpaksa ditutup buat selama-lamanya. Langkah yang menyedihkan ramai pihak itu terpaksa dibuat berikutan ia tidak lagi mampu membayar sewa bangunan di Greenford.

Muzium tersebut diasaskan oleh seorang pengedar motosikal, Bill Crosby pada tahun 1999. Premis tersebut menempatkan hampir 200 unit motosikal yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

Pada Mei lalu, muzium itu meraikan ulang tahun ke-20 tahun operasinya. Dengan kadar sewa bangunan yang terus naik di London, muzium itu sudah dua kali merayu bantuan untuk melangsaikan bil-bilnya.

“Sejak beberapa tahun lalu, kadar sewa naik hampir 100 peratus. Kami kini membayar kadar sewa komersial biasa yang dinilai pada setiap tahun. Memandangkan ia terus naik, kami sudah tidak mampu bertahan,” kata puan Crosby.

Biarpun berusaha untuk mencari lokasi lain di bandar itu, namun tiada bangunan yang menawarkan kadar mampu milik. Jadi, muzium itu terpaksa ditutup dan majoriti koleksinya akan dilelong.  

Koleksi motosikal yang rare itu dikatakan dilelong pada acara Stafford Motorcycle Show, 19 Oktober lalu.

“Buku lawatan kami penuh dengan kata-kata semangat, tetapi ia tidak dapat membayar bil. Kami kini berada di tahap tidak lagi mampu untuk terus beroperasi.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan, pengunjung dan sesiapa yang memberi sokongan selama ini,” kata seorang jurucakap muzium.

Bill mengambil masa selama 65 tahun untuk menghasilkan koleksinya dan langkah menjual jentera-jentera klasik itu amat menyedihkan. Tetapi dia tiada sebarang pilihan.

Antara jentera yang ada dalam koleksi Bill ialah Triumph Thunderbird, Bonneville, Tiger Cub dan BSA Goldstar. Motosikal tertua ialah jentera Brown Brother’s yang dihasilkan pada tahun 1907.

Selain motosikal, koleksi itu turut merangkumi beberapa buah jentera prototaip. Antara ialah model tiga selinder Triumph serta dua prototaip yang diambil terus dari kilang Triumph yang tidak berjaya diproduksi.

Tags
Google ads
Back to top button