KEMBALI KE SEKOLAH LEBIH BERGAYA DENGAN BEG AE86 INITIAL D
Percaya tak antara perkara paling sukar ialah mengejutkan anak-anak untuk ke sekolah setiap pagi. Ada sahaja alasan yang diberikan oleh mereka untuk mengelak ke sekolah. Mungkin ada yang terlebih semangat untuk ke sekolah tapi lagi ramai yang malas ke sekolah. Yang lebih semangat tu mungkin ada motivasi lain seperti nak jumpa awek ataupun nak tengok cikgu muda yang lawa-lawa.
Tapi kini mungkin ada penawarnya untuk membolehkan anak-anak kita ke sekolah dengan penuh gaya. Lupakan beg Nike ataupun Adidas keluaran Guangzhou kerana sebuah syarikat dari Jepun kini telah membuat beg replika Toyota Sprinter Trueno dari siri mangga Initial D untuk keperluan anak-anak membawa buku-buku sekolah (habis, takkan nak isi tofu dalam ni kot?).
Ini bukan replika biasa kerana ia memang dilesenkan oleh syarikat penerbitan Kodansha dan Toyota sendiri. Bahagian belakangnya diperbuat daripada plastik tahan lasak dan dizip ala cengkerang. Sama seperti AE86 sebenar, beg ini juga cukup ringan dengan berat keseluruhan hanya sekitar 900 gram. Elok sangatlah untuk sistem persekolahan Malaysia yang memerlukan setiap pelajar membawa 14 tan buku sehari ke sekolah.
Selain pada itu ia juga cukup kompak (kira kei-bag la ni kan?) dengan diameter 32.5 x 21.5 x 25 cm dengan kapasiti isian 8 liter. Ciri lain sama macam beg lain contohnya tali boleh laras dan sebagainya.
Syarikat pengeluar beg ini, Camshop berhasrat untuk mengeluarkan sekitar 500 unit sahaja dan tempahan sudahpun dibuka dengan harga sekitar RM250 seunit. Sayangnya kesemuanya hanya untuk pasaran Jepun. Watashi wa totemo kanashi.