Buletin

MITSUBISHI PERKENALKAN MITSUBISHI DESTINATOR – SUV 7 TEMPAT DUDUK UNTUK PASARAN ASEAN

Mitsubishi Motors Corporation memperkenalkan model global terbaharunya, Mitsubishi Destinator, sebuah SUV tujuh tempat duduk yang dibangunkan dengan keperluan pasaran ASEAN sebagai keutamaan.

Selepas membuat penampilan sulung di Indonesia, model ini turut disahkan bakal memasuki pasaran Asia Selatan, Amerika Latin, Timur Tengah dan Afrika.

Secara dimensi, Mitsubishi Destinator hadir dengan panjang 4,680 mm, lebar 1,840 mm, tinggi 1,780 mm dan jarak roda 2,815 mm. Saiz ini meletakkannya di antara segmen C dan D, sesuai untuk kegunaan keluarga besar dengan konfigurasi tempat duduk 2-3-2.

Bahagian luarannya menampilkan elemen rekaan bahasa visual dengan Mitsubishi Xforce yang turut diperkenalkan di Indonesia tahun lalu, selain mengadaptasi banyak elemen dari model konsep DST.

Rekaan “Dynamic Shield”, identiti jenama kini ditampilkan dengan pendekatan lebih moden, lengkap dengan gril tiga dimensi berbentuk sarang lebah yang dilindungi panel akrilik lutsinar.

Fender menonjol, plat pelindung hadapan dan belakang yang besar serta rim 18-inci menyumbang kepada imej lasak SUV ini. Jarak kelegaan tanah setinggi 214mm, sudut mendekati 21 darjah, sudut “break-over” 20.8 darjah dan sudut berundur 25.5 darjah menjadikan Destinator bukan sekadar tampak garang — ia benar-benar bersedia untuk pengembaraan luar jalan.

Masuk ke dalam, kabin Destinator dipenuhi teknologi terkini dan elemen mewah. Ia dilengkapi skrin infotainmen bersaiz 12.3-inci serta panel meter digital lapan inci. Menariknya, bumbung suria panoramik boleh dikawal melalui sistem infotainmen – pertama kali ditawarkan dalam mana-mana model Mitsubishi.

Ciri tambahan lain termasuklah sistem pencahayaan ambien 64 warna dan sistem audio Yamaha lapan pembesar suara, menjadikan pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan.

Setiap barisan tempat duduk turut dilengkapi dengan port USB jenis A dan C, selain ruang penyimpanan yang mencukupi untuk telefon dan minuman.

Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40 manakala barisan ketiga dalam format 50:50, memberi fleksibiliti maksimum mengikut keperluan pengguna.

Jantung kepada Mitsubishi Destinator ialah enjin 1.5-liter pengecas turbo yang menghasilkan 163hp dan 250Nm tork, dipadankan dengan transmisi CVT dan sistem pacuan semua roda. Tetapan suspensi menggunakan MacPherson strut di hadapan dan torsion beam di belakang, dengan talaan khas untuk keadaan jalan di Asia Tenggara.

Sama seperti model Xforce, lima mod pemanduan ditawarkan:

  • Normal – untuk pemanduan harian
  • Tarmac – respons lebih tajam atas jalan berturap
  • Gravel – mengurangkan gelinciran di permukaan berbatu
  • Mud – sesuai untuk laluan berlumpur
  • Wet – direka untuk keadaan licin dan basah

Dari aspek keselamatan, Mitsubishi tidak berkompromi. Destinator didatangkan dengan pakej Mitsubishi Motors Safety Sensing yang merangkumi:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan (FCM)
  • Amaran Titik Buta (BSW)
  • Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA)
  • Lampu Tinggi Automatik (AHB)
  • Peringatan Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN)
  • Kamera Sekitar 360 darjah (Multi-Around Monitor)

Tambahan kepada sistem keselamatan aktif, Destinator turut mempunyai fungsi panggilan kecemasan satu sentuhan serta sistem yang menghubungi pusat bantuan sekiranya beg udara diaktifkan dalam kemalangan.

Walaupun belum ada pengesahan rasmi mengenai pelancaran di Malaysia, Presiden dan CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato, menyatakan bahawa Destinator akan dipasarkan secara global dengan tumpuan utama kepada rantau ASEAN, satu petunjuk kuat bahawa kehadirannya di pasaran tempatan mungkin hanya menunggu masa.

Google ads
Back to top button