
ICAUR ICONIC ROADSHOW KINI DI DESA PARKCITY, 17-27 JULAI 2025
iCAUR Malaysia bakal menyerikan suasana Desa ParkCity dengan penganjuran iCAUR iCONIC Roadshow, sebuah acara jelajah selama 10 hari yang berlangsung dari 17 hingga 27 Julai 2025 di The Waterfront.
Ini merupakan peluang istimewa buat orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman bersama SUV elektrik penuh gaya, iCAUR 03.
Selepas sambutan hangat di siri iXPERIENCE di Eco Ardence dan 1 Utama, iCAUR kini membawa pengalaman tersebut ke tengah-tengah Lembah Klang.

iCAUR 03 hadir dalam dua konfigurasi kuasa. Versi pacuan dua roda (2WD) menggunakan motor elektrik 184PS dengan daya kilas 220Nm, disokong bateri LFP 65.7kWh yang mampu mencatat jarak sehingga 426km mengikut piawaian NEDC.
Bagi mereka yang mahukan lebih kuasa, versi Intelligent Wheel Drive (iWD) tampil dengan motor berkembar, menghasilkan 279PS dan 385Nm, bersama bateri 69.8kWh untuk jarak 418km.
Menariknya, iCAUR 03 juga sarat dengan teknologi canggih seperti sistem iROAD dengan enam mod permukaan, sistem audio 12 pembesar suara INFINITY, serta kamera Transparent Chassis 540°.
Pengunjung yang hadir ke roadshow ini akan dapat melihat dari dekat model istimewa iCAUR 03T berwarna Signature Red dan edisi Black Phantom yang penuh karakter.

Kedua-duanya dipamerkan dalam “kotak mainan” berskala besar – satu pendekatan unik yang mencerminkan semangat muda dan berani jenama iCAUR.
Bukan sekadar pameran kereta, acara ini turut menyajikan pelbagai aktiviti mesra keluarga seperti pertandingan Teka Harga, serta pemberian hadiah eksklusif bagi mereka yang menjalani pandu uji dan melengkapkan tinjauan ringkas.
iCAUR 03 dijangka memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat dengan harga anggaran antara RM145,000 hingga RM155,000.
Mereka yang berminat boleh membuat tempahan awal dengan bayaran boleh-pulang sebanyak RM1,000.
Sebagai ganjaran istimewa, 30 tempahan pertama semasa acara ini akan menerima model miniatur eksklusif iCAUR 03.
Roadshow ini dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam di Waterfront @ ParkCity, dengan sesi pandu uji tersedia antara 10 pagi hingga 7 malam.


