Buletin

WULING BAKAL TAMPIL DENGAN MPV ELEKTRIK BAHARU DI INDONESIA

Wuling Motors sedang mempertimbangkan langkah besar seterusnya dalam pasaran Indonesia dengan memperkenalkan model MPV elektrik tujuh tempat duduk, susulan kejayaan mereka sebagai jenama pertama yang menawarkan kereta elektrik di negara itu.

Walaupun kini aktif dalam segmen kereta bandar seperti Wuling Air EV, syarikat dari China ini belum lagi melancarkan MPV elektrik meskipun model sebegitu telah pun tersedia untuk pasaran global.

Di peringkat antarabangsa, Wuling sudah mempunyai model Xingguang 730, sebuah MPV 7-penumpang yang hadir dalam versi enjin pembakaran dalaman (ICE) serta versi hibrid plug-in (PHEV).

Setakat ini, hanya BYD yang berani mencabar segmen ini di Indonesia menerusi model M6, MPV elektrik mampu milik yang berjaya menarik minat pengguna dengan jualan melebihi 10,000 unit sejak dilancarkan.

Menurut Ricky Christian, Pengarah Operasi Pemasaran Wuling Motors, pihaknya mengakui potensi besar pasaran MPV elektrik di Indonesia dan sedang mengkaji kesesuaian model global untuk pasaran tempatan.

“Memang benar, pasaran Indonesia sangat besar dalam segmen MPV, khususnya 7-seater. Secara global, kami sudah ada platform untuk model ini. Harapannya, kami dapat membawanya ke Indonesia secepat mungkin,” katanya.

Kehadiran MPV elektrik daripada Wuling dijangka menambah rencah dalam persaingan kenderaan mesra alam di Indonesia, khususnya bagi pengguna keluarga yang mencari gabungan praktikaliti, kecekapan dan harga yang kompetitif.

Jika dilancarkan, model baharu ini bukan sahaja akan menjadi saingan langsung kepada BYD M6, tetapi juga boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan segmen MPV elektrik di rantau ASEAN.

Google ads
Back to top button