
POLIS THAILAND GUNA CHATGPT UNTUK JEJAK PEMANDU LANGGAR LARI
Polis Thailand menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam siasatan kes langgar lari yang meragut dua nyawa di wilayah Udon Thani pada 6 Julai lalu, dan hasilnya membawa kepada penangkapan pantas suspek.
Selepas kejadian tragik itu, polis menjumpai satu cebisan kecil dipercayai milik kenderaan suspek di lokasi kejadian.
Bahagian tersebut dihantar ke Balai Polis Kumphawapi untuk siasatan lanjut. Pihak penyiasat turut menyemak rakaman kamera litar tertutup di sekitar kawasan berkenaan bagi mengenal pasti kenderaan yang melarikan diri.
Dalam usaha mempercepatkan siasatan, pegawai penyiasat bertindak menggunakan ChatGPT untuk menganalisis gambar komponen kenderaan yang ditemui. Mereka meminta AI tersebut mengenal pasti jenis alat ganti dan model kenderaan yang mungkin berkaitan.
ChatGPT menjawab bahawa alat tersebut berkemungkinan besar milik Toyota Hilux Vigo Champ tahun keluaran 2011 hingga 2015, versi facelift.
AI turut mengenal pasti komponen tersebut sebagai “front bumper upper reinforcement” dengan nombor bahagian 52113-0K140.
Maklumat ini membolehkan polis memperincikan siasatan mereka dan menumpukan pencarian kepada model kenderaan tertentu.
Hasilnya, polis berjaya mengecam kenderaan melalui rakaman CCTV dan menahan suspek pemandu terbabit.
Perkongsian kejayaan itu dimuat naik oleh salah seorang penyiasat di halaman Facebook “Dom Sirichai” dan tular dengan pantas.
Warganet memuji kebijaksanaan polis kerana menggunakan teknologi AI secara kreatif dan efektif dalam membantu siasatan jenayah.
Bagaimanapun, maklumat terperinci tentang kes dan identiti suspek belum didedahkan secara rasmi.








