Buletin

MSF PUSINGAN 2 KEMBALI DENGAN AKSI LUMBA MALAM DI SEPANG

Malaysia Speed Festival (MSF) bakal kembali menerusi Pusingan 2 bertemakan Saturday Night Fever yang dijadualkan berlangsung di South Track Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 19 dan 20 April ini, dengan sokongan padu daripada Tourism Malaysia.

Sejak diasaskan pada 2010, MSF telah menjadi pemacu utama dalam mempopularkan perlumbaan kereta dan motosikal sebagai sukan yang mampu diakses rakyat Malaysia.

Memasuki tahun ke-15 penganjurannya, MSF kembali ke akar umbinya—perlumbaan malam penuh aksi di litar yang lebih padat dan mesra penonton. Perlumbaan MSF SuperTurismo akan bermula seawal 6 petang pada hari Sabtu dan berterusan hingga tengah malam, manakala perlumbaan MSF SuperBikes pula akan berlangsung pada hari Ahad—kali pertama kategori dua roda itu dipertandingkan di Litar Selatan.

Kerjasama MSF bersama Tourism Malaysia bertepatan dengan kempen Visit Malaysia 2026, yang menyasarkan untuk menampilkan Malaysia sebagai destinasi sukan permotoran utama di rantau ini.

Menurut peneraju MSF, Adian Yein, sokongan ini bukan sahaja memperkukuh penganjuran tempatan tetapi turut membuka peluang pendedahan antarabangsa kepada bakat-bakat tempatan.

“MSF telah menarik penyertaan pelumba dari Singapura, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Jepun dan juga Eropah. Ini membuktikan bahawa perlumbaan kami berdaya saing dan menepati standard antarabangsa,” ujar Adian.

“Dengan dukungan Tourism Malaysia, kami ingin menonjolkan pelumba-pelumba Malaysia yang berkelas dunia kepada khalayak global.”

Pusingan pertama kategori SuperBikes sebelum ini menyaksikan kemunculan nama-nama besar seperti Azlan Shah (bekas pelumba ARRC), Naomichi Uramoto (juara All Japan J-GP2 2016), Adam Norrodin (pelumba WorldSBK), dan Zulfahmi Khairuddin (bekas pelumba MotoGP dan pengasas ZK Racing).

Sementara itu, dalam kategori Superturismo, pelumba elit seperti Faidzil Alang terus mencuri tumpuan apabila mencatat masa peribadi terbaik baharu di Sepang (2:16).

Turut bersaing ialah juara Individu Gazoo Racing GT Cup Asia 2024, Taj Izrin Aiman, yang turut bergiat aktif dalam perlumbaan simulasi profesional.

Tambahan menarik tahun ini ialah kemunculan sulung MSF Myvi Cup, yang menampilkan jentera Perodua Myvi dalam aksi perlumbaan sebenar buat pertama kali di South Track Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada waktu malam.

Tiket akses paddock boleh dibeli di pintu masuk pada hari acara dengan harga RM35 sehari, manakala tempat duduk di Grandstand adalah percuma.

Pusingan 2 Malaysia Speed Festival akan berlangsung di South Track Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 19 April (Superturismo) dan 20 April (Superbikes) 2025.

Google ads
Back to top button