Buletin

AUDI Q7 2025 DIBUKA UNTUK TEMPAHAN – JANA KUASA 340PS, ANGGARAN HARGA BERMULA RM469K

PHS Automotive Malaysia (PHSAM), pengedar rasmi jenama Audi, telah memperkenalkan Audi Q7 baharu versi pemasangan tempatan (CKD).

Model ini kini dibuka untuk tempahan dan dijangka dilancarkan secara rasmi pada Mei 2025, dengan harga anggaran bermula dari RM469,000 hingga RM489,000.

Sebagai SUV flagship Audi, Q7 terbaharu ini menonjol dengan reka bentuk maskulin dan elegan, diperkemaskan lagi dengan elemen S line yang hadir sebagai standard.

Dari bahagian luar, Audi Q7 baharu diserlahkan melalui pakej Black Styling Package Plus yang memberikan sentuhan gelap pada beberapa komponen utama termasuk gril Audi Singleframe dan lencana Q7 dalam warna kelabu anthracite.

Selain itu, ia diserlahkan lagi melalui rim aloi Audi Sport 22-inci rekaan 5-V spoke serta spoiler belakang yang agresif, dengan lampu utama kini menggunakan sistem HD Matrix LED bersama Audi Laser Light, manakala lampu belakang pula dilengkapi unit Digital OLED.

Audi Q7 ditawarkan dalam empat pilihan warna:

  • Glacier White
  • Waitomo Blue
  • Mythos Black (metallic)
  • Daytona Grey dengan kemasan mutiara

Dalam ruang kabin, ia membawakan sentuhan S line dengan tempat duduk Sports Seat Plus berbalut kulit Valcona, lengkap dengan logo S dan jahitan premium.

Stereng sport rata di bahagian bawah bersama paddle shifter memberikan nuansa pemanduan sebenar. Pencahayaan dalaman boleh disesuaikan dengan 30 pilihan warna melalui Ambient Lighting Package Plus, menjadikan setiap perjalanan lebih peribadi dan eksklusif.

Q7 direka untuk tujuh orang penumpang dengan susun atur tempat duduk yang fleksibel dan praktikal. Barisan kedua boleh direbahkan bagi memberi akses mudah ke barisan ketiga, yang turut mampu memuatkan dua penumpang dewasa dengan selesa.

Bukan itu sahaja, ruang penyimpanan juga boleh dioptimumkan mengikut keperluan menerusi pelbagai konfigurasi tempat duduk.

Menambah kemewahan ialah ciri pintu Power Latching yang menutup pintu dengan kemas dan senyap secara automatik jika tidak ditutup sepenuhnya.

Antara ciri premium lain termasuklah fungsi urutan untuk tempat duduk hadapan, sistem penyaman udara 4 zon, pengecas telefon tanpa wayar, pintu but kendalian kaki, serta sistem audio 3D Bang & Olufsen.

Dari segi prestasi, Q7 dipacu oleh enjin petrol TFSI V6 3.0 liter dengan sistem MHEV 48V. Janaan kuasa mencecah 340PS dan tork 500Nm membolehkan SUV ini memecut dari sifar ke 100 km/j dalam hanya 5.6 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j.

Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik 8 kelajuan Tiptronic dan sistem pacuan semua roda quattro yang menjanjikan kawalan mantap dalam apa jua kondisi jalan.

Untuk pengalaman pemanduan yang lebih dinamik dan disesuaikan dengan pelbagai permukaan jalan, Audi Drive Select membolehkan pemilihan tujuh mod pemanduan.

Turut disertakan ialah sistem suspensi udara adaptif jenis sport dan teknologi All-Wheel Steering yang meningkatkan kestabilan serta memudahkan manuver kenderaan – termasuk ketika memarkir.

Untuk maklumat lanjut atau menempah Audi Q7 baharu, layari laman rasmi Audi Malaysia di www.audi.com.my.

Google ads
Back to top button