Buletin

NISSAN MALAYSIA UNGGUL DI PENTAS ASEAN DALAM BIDANG SELEPAS JUALAN

Nissan Malaysia sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap kecemerlangan dalam bidang selepas jualan apabila pasukannya meraih kejayaan membanggakan di pentas serantau menerusi penyertaan dalam pertandingan kemahiran profesional selepas jualan peringkat ASEAN.

Pertandingan tersebut menyaksikan wakil-wakil dari pasaran ASEAN mempamerkan kepakaran teknikal serta kemahiran khidmat pelanggan yang unggul.

Pertandingan yang dikenali sebagai Nissan Service Technical Competency (NISTEC) bagi juruteknik dan Nissan Service Advisor Competency (NISAC) untuk penasihat servis tahun fiskal 2024/2025 telah diadakan di Pusat Latihan Nissan Motor Thailand (NMT).

Wakil dari Malaysia berjaya mencuri tumpuan apabila muncul juara dalam kategori NISTEC, membuktikan kecekapan teknikal mereka dalam mengesan serta membaiki kenderaan dengan cekap dan pantas.

Dalam kategori NISAC pula, wakil Malaysia meraih tempat ketiga, menyerlah dengan pendekatan mesra pelanggan, komunikasi berkesan, dan cadangan servis yang disesuaikan secara individu.

Bertemakan “5E” – Enhance Brand Image, Engage with Customers, Elevate Customer Experience, Excel Your Commitment, dan Empower Frontline – pertandingan ini bukan sekadar pengiktirafan bakat, tetapi juga platform memperkasa barisan hadapan selepas jualan melalui latihan berterusan, sekaligus meningkatkan motivasi serta peluang pembangunan kerjaya mereka.

Untuk layak ke peringkat ASEAN ini, peserta perlu menjuarai pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan di negara masing-masing. Tahun ini, seramai 10 peserta dari lima pasaran di bawah unit perniagaan pengimport Nissan ASEAN (NIBU) – Brunei, Hong Kong, Indonesia, Malaysia dan Singapura – bersaing dalam kategori masing-masing.

Presiden Nissan ASEAN dan Thailand, Toshihiro Fujiki menyatakan, “Kini masuk tahun keempat, pertandingan ini terus berkembang sebagai medan pembentukan pakar perkhidmatan bertaraf dunia. Bagi Nissan, pelaburan terhadap kebolehan dan kemahiran kakitangan adalah kunci kepada pengalaman pelanggan yang luar biasa.”

Bagi Tan Chong Motor, pencapaian ini lebih daripada sekadar kemenangan – ia mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam memastikan setiap juruteknik dan penasihat servis Nissan bersedia memberikan perkhidmatan yang memenuhi standard tertinggi industri.

Naib Presiden Eksekutif Kumpulan Tan Chong, Christopher Tan berkata, “Ini adalah hasil dedikasi serta usaha berterusan pasukan selepas jualan kami. Kami percaya bahawa kepuasan pelanggan bermula selepas kenderaan diserahkan, dan komitmen kami adalah untuk terus memperkukuh latihan dan pembangunan kakitangan.”

Kejayaan ini akan membawa wakil Malaysia ke peringkat global apabila mereka dijadual mewakili rantau ini dalam Global Award Ceremony di Jepun pada November 2025.

Google ads
Back to top button