Buletin

NAK BELI HONDA JAZZ HYBRID ATAU CITY HYBRID i-DCD? INI SEBAB KENAPA ANDA TIDAK PERLU RISAU

Kita harus akui apabila hendak membeli sebuah kereta hibrid, kebimbangan atau persoalan pertama yang akan ditanya ialah mengenai pek baterinya.

Walaupun sudah dinyatakan berulang-ulang kali bahawa jangka hayat pek bateri boleh bertahan sepanjang hayat kenderaan tersebut, masih ramai yang skeptikal.

Kemudian, timbul pula soalan lain. Berapakah harga bateri jika ia terpaksa diganti selepas tempoh jaminan tamat?

Memahami kebimbangan itu, Honda Malaysia yang baru melancarkan model Jazz Hybrid dan City Hybrid pada pertengahan tahun ini menegaskan pengguna tidak perlu risau.

Ini kerana generasi baru kenderaan hibrid Honda menggunakan sistem hibrid yang jauh lebih canggih dan efisien, dikenali sebagai i-DCD (intelligent Dual-Clutch Drive).

Menurut Honda Malaysia, i-DCD tidak memerlukan sebarang servis khas. Sebaliknya, model hibrid Honda hanya perlu diselenggara seperti kereta petrol yang lain.

Bagi memberi lebih nilai kepada pengguna, jentera ini hadir dengan enam kos buruh percuma untuk setiap selang 20,000km. Servis percuma itu akan diselang-selikan dengan servis berbayar.

Secara lebih ringkas, bagi tempoh pemilikan selama lima tahun, kos penyelenggaraan kedua-dua model hibrid itu hanya RM2,867.

Pek bateri lithium-ion itu juga didatangkan dengan jaminan selama lapan tahun, perbatuan tanpa had. Jika bateri perlu ditukar selepas tempoh jaminan, kos penggantian hanya RM5,513 seunit.

Namun begitu, sebelum anda cuak untuk mengeluarkan duit sebanyak itu, harus tahu sejak tahun 2013, lebih 256,565 unit Honda Fit (Jazz) Hybrid telah terjual di Jepun. Daripada angka tersebut, kadar penggantian bateri cuma 0.103 peratus sahaja.

Dari segi keselamatan, sekiranya berlaku impak pada kelajuan bawah 50km/j dengan kereta anda dalam keadaan statik, impak rempuhan tersebut tidak akan sampai ke tapak bateri.

Jika kelajuan melebihi 50km/j pula, impak pelanggaran tidak akan membuatkan bateri terperosok ke dalam kabin. Sebaliknya, kreativiti pasukan jurutera Honda berjaya memastikan bateri tersebut tergelongsor ke bahagian bawah kenderaan. Sekali gus meningkatkan aspek keselamatan penumpang.

Di Jepun, setakat ini kemalangan yang membabitkan kenderaan hybrid tidak pernah berlaku sebarang percikan api, kebakaran atau letupan pada bateri.

Berdasarkan kepada fakta-fakta ini, tiada sebab kenapa anda perlu bimbang tentang aspek penyelenggaraan dan memiliki sebuah kereta hibrid Honda.

Anda bukan sahaja dapat menjimatkan kos bahan api, malah membantu dalam mengurangkan emisi kenderaan untuk udara yang lebih bersih.

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button