Artikel Pilihan

ENJIN HIBRID TAK TAHAN LAMA SEBAB SELALU GUNA START/STOP?

Kereta hibrid sering dikaitkan dengan penjimatan bahan api, pelepasan asap lebih rendah dan kecekapan penggunaan petrol. Namun terdapat satu persoalan yang sering bermain dalam fikiran, iaitu adakah enjin petrol yang kerap hidup dan mati (start/stop) secara automatik akan mengalami kehausan lebih cepat berbanding enjin kereta konvensional?

Walaupun enjin petrol dalam kereta hibrid beroperasi secara berselang-seli, perkara itu tidak semestinya menyebabkan jangka hayat enjin menjadi lebih pendek. Malah enjin kereta hibrid sebenarnya mempunyai beban kerja yang lebih rendah berbanding enjin petrol biasa.

Ini kerana motor elektrik mengambil alih sebahagian tugas enjin, khususnya ketika kenderaan mula bergerak dari keadaan pegun dan memecut pada kelajuan rendah. Dalam situasi trafik sesak, enjin petrol juga boleh dimatikan sepenuhnya ketika kenderaan berhenti atau apabila kuasa motor elektrik mencukupi untuk menggerakkan kereta.

Keadaan ini mengurangkan keperluan enjin petrol beroperasi secara berterusan. Pengeluar kereta hibrid juga membangunkan sistem pengurusan enjin khusus untuk mengawal proses menghidupkan dan mematikan enjin, termasuk suhu operasi, beban dan jumlah kuasa yang dihasilkan.

Ini bermakna enjin hibrid bukan sekadar enjin petrol biasa yang dihidupkan dan dimatikan secara rawak tetapi dikawal dengan pelbagai parameter yang sentiasa dipantau dengan sensor.

Tetapi terdapat satu aspek yang perlu diberikan perhatian, iaitu suhu operasi enjin dan keadaan minyak pelincir. Ini kerana ketika enjin masih sejuk, minyak pelincir belum mencapai suhu operasi optimum. Masalah boleh berlaku apabila kereta hibrid terlalu kerap menggunakan motor elektrik, khususnya dalam perjalanan pendek di kawasan bandar.

Enjin petrol mungkin hanya hidup untuk tempoh singkat sebelum dimatikan semula tanpa sempat mencapai suhu operasi yang mencukupi. Dalam keadaan normal apabila enjin mencapai suhu operasi optimum, haba akan membantu menyejat kelembapan dan komponen bahan api yang terkumpul di dalam minyak pelincir.

Proses pembakaran tidak lengkap juga boleh menyebabkan sejumlah kecil bahan api tidak terbakar dan wap air memasuki ruang minyak enjin melalui sistem blow-by. Jika keadaan ini berulang, bahan api dan kelembapan berpotensi terkumpul dalam minyak enjin yang dikenali sebagai fuel dilution, iaitu pencairan minyak pelincir disebabkanpencemaran oleh petrol dan lembapan.

Apabila kelikatan minyak berkurangan, lapisan pelinciran yang melindungi komponen bergerak dalam enjin berpotensi menjadi kurang berkesan. Dalam jangka panjang, keadaan tersebut boleh meningkatkan risiko kehausan komponen jika tidak ditangani. Isu ini telah dikaji secara teknikal oleh Society of Automotive Engineers (SAE) yang diterbitkan pada 2020.

Kajian tersebut meneliti hubungan antara kekerapan enjin dihidupkan dengan perubahan kelikatan minyak pelincir dalam sebuah kenderaan plug-in hybrid. Kajian mendapati risiko untuk berlaku isu fuel dillution bergantung kepada reka bentuk enjin, sistem pengurusan suhu, keadaan cuaca, corak pemanduan dan penyelenggaraan.

Dari sudut kehausan enjin pula, proses menghidupkan enjin memang merupakan antara keadaan yang menyumbang kepada geseran kerana peredaran minyak pelincir dan suhu belum stabil sepenuhnya. Namun kekerapan enjin dihidupkan sahaja tidak cukup untuk menentukan tahap kehausannya.

Menghidupkan semula enjin yang masih panas tidak sama dengan menghidupkan enjin yang sudah lama tidak beroperasi dan berada dalam keadaan sejuk. Sistem hibrid moden menggunakan komponen starter-generator bersepadu untuk menguruskan proses menghidupkan semula enjin. Sistem kawalan juga boleh mengehadkan putaran dan beban enjin ketika proses pemanasan.

Bagi memastikan enjin kereta hibrid kekal dalam keadaan baik, pemilik perlu mengikuti jadual penyelenggaraan yang ditetapkan pengeluar. Penukaran minyak enjin perlu dibuat mengikut had jarak perjalanan atau tempoh masa dan sekiranya tempoh sela masa sudah sampai, servis penukaran minyak enjin perlu dibuat dengan segera walaupun kereta jarang dipandu.

Pemilik juga perlu menggunakan minyak pelincir dengan spesifikasi dan kelikatan yang betul mengikut cadangan pengeluar yang bergantung kepada keadaan iklim di negara pengguna.

Apa yang menarik ialah data kebolehpercayaan Consumer Reports yang diterbitkan pada 2025 menunjukkan kereta hibrid konvensional bagi model tahun 2023 hingga 2025 mencatatkan kira-kira 15 peratus lebih sedikit masalah secara purata berbanding kereta petrol biasa. Namun data ini berbeza antara kereta hibrid konvensional dengan plug-in hybrid (PHEV) yang ;ebih kompleks

Sistem PHEV mempunyai bateri lebih besar dan boleh bergerak lebih jauh menggunakan tenaga elektrik sahaja. Bergantung kepada cara penggunaan, enjin petrol mungkin lebih jarang dihidupkan dan beroperasi dalam tempoh yang lebih singkat.

Sistem PHEV juga lebih kompleks kerana menggabungkan enjin pembakaran dalaman, motor elektrik, bateri berkapasiti lebih besar dan sistem pengurusan tenaga yang berbeza. Oleh itu, tahap kebolehpercayaannya masih bergantung kepada reka bentuk dan kualiti setiap model.

Perkara yang lebih penting ialah bagaimana sistem tersebut menguruskan suhu operasi, pelinciran dan beban enjin. Selagi penyelenggaraan dilakukan mengikut spesifikasi pengeluar, kereta hibrid tidak sepatutnya dianggap mempunyai jangka hayat enjin yang lebih pendek berbanding kereta petrol konvensional.

Google ads
Back to top button