Buletin

JAGUAR CIPTA STERENG MASA HADAPAN YANG RAMAI ANGGAP HANYA FANTASI

Umum ketahui bahawa industri automotif hari ini adalah tentang masa depan. Kita bercakap tentang kereta mesra alam, berkuasa elektrik dan juga pemanduan pintar. Sistem autonomous atau sistem tanpa pemandu atau sistem separa pemandu.

Setiap pengeluar sudah mengumumkan perancangan masing-masing. Ada yang meletakkan 5 tahun untuk kereta pemanduan autonomi, ada yang menyasarkan akan menggunakan teknologi elektrik sepenuhnya menjelang 10-20 tahun akan datang. Hakikatnya, kereta berenjin pembakaran dalaman petrol/disel nampaknya akan sampai ke penghujung hayat.

Sekurang-kurangnya itulah yang dijanjikan untuk benua Eropah. Kerana seperti yang kita ketahui, peraturan pengeluaran kenderaan Eropah sangat ketat. Mereka sangat kritikal tentang pencemaran, pengeluaran karbon, kadar guna semula komponen kenderaan dan juga aspek alam sekitar.

STERENG JAGUAR “SAYER”

Demi mengejar persaingan dalam teknologi kereta tanpa pemandu, Jaguar telah mendedahkan teknologi inovatif mereka. Dikenali sebagai SAYER, ia merupakan roda stereng masa hadapan yang diimaginasikan oleh jurutera Jaguar.

Stereng kawalan penuh ini akan dipasangkan pada model masa hadapan mereka – Future-Type. Ia akan dipamerkan dalam pameran teknologi Tech Fest di London bermula minggu ini dan merupakan stereng kawalan suara yang tampak cukup berbeza dengan stereng Momo Evo 3 yang dipasangkan pada Tiara Pak Amid.

BAGAIMANA IA BERFUNGSI?

Pernah lihat stereng kereta Formula 1? Sesuatu seperti itu. Jaguar memberitahu. Pada masa akan datang, satu-satunya komunikasi dengan kereta adalah menerusi roda stereng. Ia disimpan di rumah sebagai modul kawalan keseluruhan apabila tak digunakan.

Kesemua maklumat dipaparkan dalam satu skrin kecil rekaan aluminium dan jurutera Jaguar memberitahu sebenarnya ia adalah peralatan komunikasi dan kawalan yang boleh diintegrasikan pada mana-mana kereta autonomi masa hadapan.

BACA: TEKNOLOGI 1 PEDAL NISSAN YANG PELIK

Katakan anda hendak ke KLIA pada hari esok jam 8 pagi, apa yang perlu dilakukan ialah masukkan maklumat tersebut dan kereta automatik akan tiba di garaj rumah dan anda hanya perlu pasangkan stereng tersebut kepada hub kereta. Ia akan membawa anda ke destinasi mengikut laluan terpantas dan tiba tepat ke destinasi.

Kerana pada masa hadapan, Jaguar berpendapat kereta bukan lagi satu bentuk milikan. Ia adalah kenderaan perkongsian bersama yang mana anda perlu membayar bayaran tertentu untuk “berkongsi” kenderaan.

Kurang jelas? Contohnya begini. Jika anda nak balik ke Kodiang pada tahun 2050, anda boleh pandu Savvy berkuasa elektrik dari Cheras ke pekan Kodiang. Abang Japar yang berada dalam sistem perkongsian kereta dari Kodiang yang hendak ke Kuala Lumpur akan membawa Savvy tersebut pulang.

Nama Sayer ini diilhamkan dari pereka Jaguar yang terkenal Malcolm Sayer yang berkhidmat dengan syarikat British itu antara tahun 1951 hingga 1970.

 

 

 

Google ads
Back to top button