Buletin

NAK BELI KERETA ‘SINGLE SEATER’? RODIN CARS ADA JUAL

Sukan Formula 1 merakamkan pelbagai peristiwa menarik dan mempunyai nilai tersendiri. Ada yang berkemampuan dan minat tinggi terus membeli kereta F1 atau GP sebagai koleksi.

Cabaran dalam memiliki kereta GP apabila ianya direka untuk digunakan setakat 300km atau dua jam sebelum semuanya ditanggalkan.

Nilainya juga tinggi untuk dibelasah di litar lumba selain komponen yang sukar dicari atau mahal harganya.

Kini ada satu alternatif iaitu kereta satu tempat duduk buatan New Zealand yang dibangunkan oleh Rodin Cars.

Kereta dikenali sebagai Rodin FZED mempunyai kuasa 675 bhp pada 9,600 rpm dengan tork puncak 490 Nm pada 7,600 rpm. Redline enjin ini ialah 10,000 rpm.

Kereta ini dikuasakan oleh enjin Cosworth GPV8 yang dibangunkan daripada enjin Cosworth XG untuk perlumbaan Indy. Badan dan casis kereta pula berasal daripada Lotus T125 yang diperkenalkan pada tahun 2011.

Prestasi pecutan kepada 160 km/j mengambil masa lima saat dengan kelajuan maksimum 300 km/j. Berat pula hanya 609 kg tidak termasuk pemandu.

Individu disebalik Rodin FZED ialah David Dicker, pengasas Rodin Cars Australia dan juara Ferrari Challenge.

Rodin Cars memang serius dalam projek ini dan mempunyai litar ujian di New Zealand di mana David Dicker dan kakitangannya menyempurnakan prestasi dan pengendalian kereta.

Menurut Rodin Cars prestasi pusingan di litar lumba hampir menyamai masa Formula 1.

Berikut ialah ciri-ciri Rodin FZED: 

  • Casis komposit gentian karbon dan pakej aerodinamik oleh HP Composites buatan ltali yang juga pembekal kepada pengeluar Eropah dan pasukan lumba
  • Lantai kereta jenis terowong berbeza daripada lantai rata pada kereta Grand Prix
  • Enjin Cosworth 3.8 liter, 32 injap dipadankan bersama kotak gear Ricardo enam kelajuan manual sequential
  • Sistem ekzos dan peredam yang direka dan dibangunkan sendiri oleh Rodin Cars 
  • Brek karbon dari Alcon
  • Suspensi boleh laras TTX40 dari Öhlins
  • Roda magnesium 13 inci dari OZ Racing dan tayar dari Avon

Buat masa sekarang satu daripada lima buah Rodin FZED sedang dipasang dan dirancang untuk dijual kepada pelanggan yang mahukan pengalaman hampir kepada F1 tanpa kos tinggi kereta Grand Prix.

Rodin FZED dibangunkan supaya tahan lama dengan enjin direka untuk dipandu lebih daripada 5000 km menggunakan minyak RON98.

Kereta ini layak untuk digunakan dalam siri perlumbaan Formula Libre di New Zealand dan diterima di dalam siri BOSS di Eropah.

Harga Rodin FZED bermula dari USD$650,000 (RM2,720,835) dan kompetitif jika dibandingkan dengan kereta GT3.

Google ads
Back to top button