Buletin

WRC 2019 : OTT TANAK MUNCUL JUARA BAHARU WRC!

Pelumba handalan Toyota, Ott Tänak akhirnya berjaya menamatkan penantian yang mendebarkan untuk muncul Juara World Rally Championship 2019 setelah berjaya menamatkan tempat kedua keseluruhan di Rally De Espana, Sepanyol. Pemandu kelahiran Estonia itu berjaya mengutip 23 mata yang berharga termasuk ketika SS khas Power Stage yang membolehkan beliau mengutip lima mata tambahan sekaligus menjadikan pungutan mata kepada 263 mengatasi pelumba Thierry Neuville walaupun beliau berjaya memenangi perlumbaan di Sepanyol.

Ternyata kemenangan Ott Tänak selaku juara WRC musim 2019 ini dilihat agak mengejutkan kerana beliau baru dua musim bersama Toyota Yaris setelah bertahun lamanya memandu Ford Fiesta. Ott Tänak juga muncul selaku pemandu kelahiran Estonia pertama yang menjuarai WRC ini. Dan sudah tentu pasukan Toyota sendiri boleh merasa bangga dan gembira dengan kejayaan ini setelah baru tiga tahun mereka kembali berlumba semula.

Pelumba pasukan Hyundai tersebut ternyata bermula garang sedari awal perlumbaan lagi sebagai tanda usaha beliau untuk menghalang Ott Tänak daripada muncul juara WRC lebih awal di Sepanyol. Thierry Neuville kelihatan unggul mendahului saingan beberapa peringkat tetapi dengan kelebihan masa yang cukup sengit diantara beliau dan juga Ott Tänak. Dan diakhri perlumbaan, Thierry Neuville berjaya mengatasi Ott Tänak dengan kelebihan 17.2 saat.

Tempat ketiga keseluruhan pula pelumba tuan rumah, Dani Sordo yang turut memandu Hyundai i2o WRC. Setidaknya bolehlah angkat muka sikit ada juga pelumba tuan rumah menaiki podium. Dani Sordo hanya ketinggalan 17.6 saat sahaja di belakang Thierry Neuville menjadikan perlumbaan ini lebih sengit dan mendebarkan. Dengan podium 1-3 ini, memastikan pasukan Hyundai Shell Mobis berupaya mengutip mata (380 mata) dan menjarakkan sedikit kedudukan kategori Pembuat hadapan pasukan Toyota Gazoo (362 mata).

Malang menimpa pelumba Sebastian Ogier apabila kereta beliau mengalami masalah kebocoran minyak pada saluran sistem hidraulik yang mengakibatkan beliau kehilangaan tahta kejuaraan yang dimenangi bertahun – tahun lamanya. Pasti sugul dibuatnya.

Walaupun gembira, sebenarnya pasukan Toyota yang dipimpin lagenda Tommi Mäkinen tidaklah gembira mana. Sebelum perlumbaan lagi perkhabaran tentang Ott Tanak untuk berlumba bersama pasukan Hyundai telah pun tersebar. Belum pun tamat persaingan musim 2019, permulaan untuk musim 2020 telah pun bermula nampak gayanya.

Apa pun, persaingan terakhir sebagai penutup kalendar WRC 2019 bakal berlangsung di Australia pada pertengahan November nanti. Kita tengok bagaimana pula persaingan perebutan tempat kedua nanti. Tak dapat muncul juara, no dua pun kira ok lah kan?

Kedudukan Mata Pelumba

  1. Ott Tanak – 263 Mata
  2. Sebastian Ogier – 227 Mata
  3. Thierry Neuville – 217 Mata

Kedudukan Mata Pembuat

  1. Hyundai Shell Mobis – 380 Mata
  2. Toyota Gazoo Racing – 362 Mata
  3. Citroen Total – 284 Mata

BACA : WRC 2019 : OTT TANAK MENANG DI GB. GELARAN JUARA SEMAKIN HAMPIR

BACA : OTT TANAK SERTAI TOYOTA DALAM WRC 2018. JENAMA LAIN MACAM MANA?

Google ads
Back to top button